Pelumba muda negara hampir raih podium Moto3 selepas aksi cemerlang bersama kelompok hadapan di Litar Barcelona-Catalunya.

Langgan saluran Instagram kami untuk info dan berita terkini!
Hakim Danish Ramli mempamerkan aksi cukup memberangsangkan apabila berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh keseluruhan pada GP Catalunya, sekali gus membuktikan kemampuannya untuk bersaing bersama kelompok hadapan dalam saingan Moto3.
Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI itu tampil dengan prestasi konsisten sepanjang hujung minggu perlumbaan di Litar Barcelona-Catalunya. Bermula dari petak ke-10, Hakim Danish tidak menunggu lama untuk memecut agresif sebaik perlumbaan bermula sebelum mula memberi tekanan kepada kelompok hadapan.

Hampir cipta podium pertama Moto3
Sepanjang 18 pusingan perlumbaan berlangsung, pelumba kelahiran Terengganu itu beberapa kali berjaya memperbaiki kedudukan dan pernah berada di tempat kedua ketika persaingan semakin sengit di hadapan.
Pertukaran posisi yang berlaku hampir di setiap selekoh menjadikan perlumbaan Moto3 kali ini cukup dramatik, namun Hakim Danish kekal tenang dan konsisten berada dalam kelompok lima terbaik sehingga memasuki lima pusingan terakhir. Malah, beliau sempat menduduki tempat ketiga dan dilihat berpeluang besar untuk meraih podium pertamanya dalam kejuaraan dunia Moto3.
Bagaimanapun, kesilapan kecil pada pusingan terakhir di selekoh ke-10 menyebabkan Hakim Danish sedikit terkeluar daripada garis perlumbaan. Kesempatan itu digunakan empat pelumba lain untuk memintas, sekali gus memaksa beliau menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh.
Walaupun terlepas peluang menaiki podium, Hakim Danish tetap membawa pulang sembilan mata berharga hasil persembahan mantap yang dipamerkan sepanjang minggu perlumbaan di Catalunya.

Prestasi cemerlang sejak sesi latihan
Prestasi memberangsangkan Hakim sebenarnya sudah mula terserlah sejak sesi latihan bebas pada Jumaat apabila beliau mencatat masa terpantas 1 minit 46.943 saat, mengatasi beberapa pelumba tuan rumah termasuk Adrian Fernandez dan David Almansa.
Catatan tersebut sekali gus memastikan slot automatik ke sesi kelayakan kedua (Q2). Namun begitu, pada sesi kelayakan sebenar, Hakim Danish sekadar mencatat masa ke-10 terpantas untuk memulakan perlumbaan.
Dengan tambahan sembilan mata di Catalunya, Hakim Danish kini mengumpul keseluruhan 27 mata selepas enam pusingan perlumbaan musim ini.

Hakim Danish anggap Catalunya pengalaman terbaik
Mengulas mengenai perlumbaan tersebut, Hakim Danish mengakui banyak perkara baharu dipelajarinya terutama cara mengurus perlumbaan bersama kelompok hadapan.
“Hari ini saya menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh dan saya bermula dengan cukup baik di grid pelepasan. Sepanjang perlumbaan, saya cuba mengawal posisi untuk kekal bersaing bersama kelompok hadapan.
“Beberapa kali juga saya berjaya memintas pelumba di depan dan banyak perkara baharu yang saya pelajari kali ini, terutama cara mereka mengawal perlumbaan dalam kelompok hadapan.
“Selepas ini, saya perlu lebih agresif terutama ketika berada dalam kelompok hadapan, sama ada ketika memintas atau mengekalkan race pace. Ini pengalaman terbaik buat saya.
“Pada pusingan terakhir, saya hampir menaiki podium, namun malangnya saya terlebih brek di selekoh ke-10. Saya ambil GP Catalunya ini sebagai pembelajaran berguna dan saya akan terus bekerja keras untuk mencapai podium satu hari nanti,” katanya.

Zulfahmi Khairuddin puji peningkatan Hakim Danish
Sementara itu, Pengurus Pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin turut memuji prestasi yang dipamerkan pelumba muda negara tersebut sepanjang hujung minggu perlumbaan.
Menurutnya, Hakim Danish bukan sahaja menunjukkan kepantasan, malah semakin memahami cara untuk bersaing secara kompetitif bersama pelumba terbaik dunia.
“Secara keseluruhan, saya amat gembira dengan prestasi yang ditunjukkan oleh Hakim Danish sepanjang minggu ini. Dia bukan sahaja mempamerkan kepantasan, malah banyak mempelajari cara mengurus perlumbaan dan bersaing dalam kelompok hadapan.
“Sudah tentu sedikit mengecewakan apabila dia hampir menaiki podium, namun kesilapan kecil itu adalah sebahagian daripada proses pembelajaran.
“Apa yang paling penting, keyakinannya semakin meningkat dan saya percaya dia mempunyai kemampuan untuk bersaing merebut podium sekiranya terus bekerja keras serta mengekalkan prestasi seperti di Catalunya,” jelasnya.
Selepas aksi positif di GP Catalunya, Hakim Danish kini akan mengalihkan fokus untuk menghadapi pusingan seterusnya di GP Itali yang dijadual berlangsung di Litar Mugello dari 29 hingga 31 Mei depan.



Facebook
Instagram
X (Twitter)
YouTube
LinkedIn
RSS