ADV160 dengan varian Roadsync terbaru ini didatangkan dengan paparan TFT 5-inci dan penyambungan telefon pintar, melengkapkan barisan ADV di Malaysia.

Langgan saluran Instagram kami untuk info dan berita terkini!
Boon Siew Honda secara rasmi melancarkan Honda ADV160 2026 yang telah dikemas kini di Malaysia Bike Show 2026 yang diadakan di MAEPS Serdang, memperkenalkan ciri-ciri penyambungan terbaru yang bertujuan untuk mempertingkatkan lagi pengalaman menunggang pada setiap hari.
Skuter adventure popular ini kini didatangkan dalam dua varian, dengan ADV160 RoadSync ditawarkan pada harga RM13,649 manakala ADV160 ABS ditawarkan pada harga RM13,249. Kedua-dua harga ini tidak termasuk insurans. Boon Siew Honda juga memberikan manufacturing warranty sehingga 2 tahun atau 20,000km, bergantung mana satu yang datang terlebih dahulu, untuk kemudahan dan ketenangan minda bagi pengguna.
Highlight terbesar bagi ADV160 2026 ini adalah pengenalan kepada sistem Honda RoadSync yang terdapat pada varian premium, membuatkan ia sebagai model paling terkini di dalam barisan motor adventure Honda untuk menerima ciri peyambungan ini.
Dengan pelancaran ini, X-ADV 750, ADV350 dan ADV160 kini semua tersedia dengan Honda RoadSync, mengukuhkan lagi tempat Honda di dalam segmen skuter adventure Malaysia yang semakin berkembang.
ADV160 RoadSync terbaru ini dilengkapi dengan paparan TFT 5-inci yang boleh disambungkan dengan telefon pintar penunggang melalui aplikasi Honda RoadSync.

Apabila disambungkan, penunggang boleh akses pelbagai fungsi termasuk:
- Navigasi turn-by-turn
- Notifikasi panggilan masuk
- Paparan mesej
- Kawalan muzik
Untuk menyokong sistem baharu ini, Honda juga telah reka bentuk semula switchgear pada sebelah kiri handlebar, memberikan akses mudah kepada kawalan paparan TFT ketika menunggang.
Sementara itu, varian ADV160 ABS masih mengekalkan paparan digital yang sama dan tidak dilengkapi dengan ciri sambungan RoadSync. Selain dari rekaan panel sisi yang baharu, visual bagi kedua-dua varian masih kelihatan sama.

Dari segi enjin, ADV160 masih terus dikuasakan oleh enjin 156.9cc eSP+ penyejukan cecair satu silinder Honda yang sudah terbukti reputasinya dan digandingkan bersama transmisi CVT.
Enjin ini menghasilkan sekitar 16 PS pada 8,500 rpm dan 14.7 Nm tork pada 6,500 rpm, memberikan keseimbangan di antara prestasi, kecekapan bahan api, dan juga praktikaliti harian.
Ciri-ciri lain yang masih dikekalkan termasuk:
- Brek cakera hadapan dan belakang
- Sistem brek ABS
- Roda hadapan bersaiz 14-inci dan roda hadapan bersaiz 13-inc
- Penyerap hentakan belakang berkembar Showa berserta external reservoirs
- Cermin hadapan boleh laras
- Port pengecasan USB
- Ruang penyimpanan 30-liter di bawah seat
- Tangki minyak 8.1-liter
Bercakap ketika pelancaran, Kunitomo Asano menegaskan tentang peranan perintis Honda di dalam segmen motosikal adventure.
“Honda nampak potensi dan visi melebihi orang lain. Kami mencipta sebuah kategori yang tidak pernah wujud,” kata Asano. “Sebagai perintis kepada pasaran motosikal adventure, kami telah pun memerhati dengan teliti dan rajin mendengar segala maklum balas pelanggan kami untuk menambah baik produk kami yang seterusnya,” beliau menambah.
Honda menekankan bahawa ADV160 ABS akan terus menawarkan gaya lasak, serba boleh, dan praktikaliti yang sama yang telah menjadi siri ADV popular di dalam kalangan penunggang Malaysia, sementara varian RoadSync yang baharu memberikan kemudahan tambahan bagi mereka yang menginginkan pengalaman menunggang yang lebih mengagumkan.
Honda ADV160 2026 dijadualkan untuk tiba di kesemua cawangan Honda Impian X dan pengedar yang sah di seluruh negara bermula pada 11 Jun 2026 dan seterusnya.



Facebook
Instagram
X (Twitter)
YouTube
LinkedIn
RSS