Motosikal naked kelas pertengahan yang telah dikemas kini dengan ergonomik yang dipertingkatkan, penyambungan TFT, dan gaya baharu, pada harga RM35,600.

Langgan saluran Instagram kami untuk info dan berita terkini!
MODENAS secara rasminya telah melancarkan Kawasaki Z650S 2026 di Malaysia Bike Show 2026 yang telah diadakan di MAEPS, Serdang.
Berharga RM35,600 tidak termasuk cukai jalan, insurans, dan pendaftaran, motosikal naked kelas pertengahan yang telah dikemas kini ini telah mendarat di Malaysia dengan pelbagai perubahan, memfokuskan kepada keselesaan penunggang yang ditambah baik, gaya yang telah dikemas kini dan teknologi yang telah dipertingkatkan.
Kawasaki Z650S 2026 kini terdapat dalam warna Metallic Matte Graphenesteel Gray / Metallic Flat Spark Black dan mengikuti pengenalan global model ini pada tahun 2025.
Berbanding dengan generasi sebelum ini, Z650S serba baharu ini telah mendapat beberapa penambahbaikan ergonomik. Handlebar kini lebih lebar dan berada di posisi yang lebih ke hadapan sedikit, memberikan posisi menunggang yang lebih semulajadi. Footpegs juga telah dialihkan sedikit ke belakang, sementara ketinggian seat telah ditingkatkan daripada 795mm ke 805mm untuk keselesaan dan kawalan penunggang yang lebih baik.

Kawasaki juga telah mereka bentuk semula tangki minyak, walaupun kapasitinya sebesar 15 liter tidak berubah. Secara visual, Z650S mendapat panel badan yang serba baru beserta lampu hadapan dan belakang LED yang direka semula, memberikan motosikal ini bentuk yang lebih tajam dan penampilan yang lebih moden sambil mengekalkan gaya khasnya yang diilhamkan oleh Sugomi.
Salah satu penambahbaikan yang paling ketara terdapat di kokpit, di mana Z650S kini menampilkan paparan TFT-LCD 4.3-inci. Skrin tersebut memberikan dua tema paparan yang boleh dipilih beserta penyambungan Bluetooth, membolehkan penunggang untuk menyambung telefon pintar mereka melalui aplikasi Kawasaki Rideology untuk fungsi tambahan.
Menguasakan motosikal ini ialah enjin 649cc penyejukan cecair parallel-twin, yang digandingkan dengan gearbox enam kelajuan beserta assist and slipper clutch. Enjin ini menghasilkan 67 hp pada 8,000 rpm dan 64 Nm tork pada 6,700 rpm.

Bantuan penunggang elektronik yang disediakan termasuk ABS dual-channel dan sistem traction control dua peringkat, memberikan keyakinan tambahan ketika melalui pelbagai keadaan jalan.
Suspensi yang digunakan ialah fork hadapan teleskopik 41 mm dan juga preload-adjustable rear monoshock. Prestasi braking datang daripada disk hadapan berkembar 300 mm beserta caliper dua piston, sementara roda belakang menggunakan disk 220 mm beserta caliper satu piston. Motosikal ini menggunakan roda bersaiz 17-inci yang dibaluti tayar 120/70 di bahagian hadapan, dan 160/60 di bahagian belakang, dan berat yang dinyatakan adalah sekitar 190 kg.
Dengan ergonomik yang telah dikemaskini teknologi yang telah diperbaharui dan gaya yang moden, Kawasaki Z650S 2026 terus memperkukuhkan posisinya sebagai salah satu motosikal naked kelas pertengahan yang popular di dalam pasaran, menarik perhatian penunggang baharu dan juga peminat berpengalaman yang mencari sebuah motosikal harian yang serba boleh.



Facebook
Instagram
X (Twitter)
YouTube
LinkedIn
RSS