Pelumba JDT Racing Team dominasi Race 2 ASB1000, rai kemenangan berganda pertama sejak 2024 di laman sendiri.

Langgan saluran Instagram kami untuk info dan berita terkini!
Pusingan pembukaan IDEMITSU FIM Asia Road Racing Championship (ARRC) 2026 di Litar Antarabangsa Sepang menyaksikan aksi luar biasa daripada pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah, yang berjaya mencatat kemenangan berganda dalam kategori ASB1000.
Pelumba JDT Racing Team itu mempamerkan prestasi dominan sepanjang perlumbaan Race 2, sekali gus menghadiahkan kejayaan manis di hadapan penyokong tempatan. Kemenangan ini menandakan “perfect double” pertama Hafizh sejak musim 2024.
Permulaan sempurna dan kawalan penuh perlumbaan
Sejurus lampu dipadamkan, Hafizh membuat permulaan yang cukup baik untuk terus mendahului perlumbaan. Keito Abe dari SDG HARC-PRO Honda Philippines kekal memberi tekanan di belakang, manakala Lachlan Epis berada di kedudukan ketiga.
Memasuki Lap 3, Hafizh mula menunjukkan rentak sebenar apabila mencatat masa terpantas 2’05.621s, selain mencapai kelajuan maksimum hampir 288.8 km/j, mengukuhkan kedudukannya di hadapan.

Jurang semakin melebar, Hafizh sukar dicabar
Perlumbaan mula memasuki fasa stabil dengan Hafizh terus mengawal saingan di hadapan, diikuti Keito dan Lachlan. Di belakang, persaingan semakin sengit melibatkan Adenanta Putra, Muhammad Zaqhwan Zaidi, dan Andi Farid Izdihar.
Menjelang Lap 8, Hafizh berjaya membuka jurang hampir 4.8 saat ke atas pencabar terdekat, sebelum terus menambah kelebihan melebihi lima saat pada lap berikutnya.
Drama perebutan tempat kedua di saat akhir
Aksi semakin menarik apabila Andi Farid mula mempamerkan tunggangan agresif. Pada Lap 10, beliau berjaya memintas Lachlan untuk naik ke tempat ketiga sebelum terus memburu Keito di posisi kedua.
Kemuncak aksi berlaku pada Lap 13 apabila Andi berjaya memintas Keito di selekoh 9, sekali gus meletakkan JDT Racing Team di kedudukan 1-2 buat sementara waktu.
Namun, di selekoh terakhir perlumbaan, Keito melakukan serangan balas di laluan lurus penamat dan berjaya merampas semula tempat kedua dengan perbezaan hanya 0.006 saat.

Hafizh dedikasi kemenangan buat rakyat Malaysia
Di hadapan, Hafizh tidak dicabar langsung dan menamatkan perlumbaan dengan masa 29’35.664s, melengkapkan kemenangan berganda hujung minggu tersebut. Selepas perlumbaan, Hafizh menyifatkan pencapaiannya sebagai hasil kerja keras dan pengorbanan sepanjang musim.
“Kemenangan pertama memang bermakna, jadi saya nak gandakan, dan kami berjaya. Ini hujung minggu yang sempurna dengan pace yang konsisten. Pada lap terakhir sebenarnya minyak hampir habis, tapi saya berjaya habiskan perlumbaan.
Terima kasih kepada pasukan dan semua penyokong Malaysia. Ini kemenangan yang saya kejar sejak tahun lepas, dan akhirnya kami berjaya capai.”
Keputusan Top 5 ASB1000 Race 2
- Hafizh Syahrin Abdullah (JDT Racing Team) – 29’35.664s
- Keito Abe (SDG HARC-PRO Honda Philippines) – 29’40.443s
- Andi Farid Izdihar (JDT Racing Team) – 29’40.449s
- Muhammad Zaqhwan Zaidi (Idemitsu Honda Racing Malaysia) – 29’43.402s
- Azroy Hakeem Anuar (Idemitsu Honda Racing Malaysia) – 29’43.523s



Facebook
Instagram
X (Twitter)
YouTube
LinkedIn
RSS