TW Racing Team muncul untuk tahun kedua, pasukan tampil lebih tersusun dengan kerjasama strategik bersama Mforce Malaysia.

Langgan saluran Instagram kami untuk info dan berita terkini!
TW Racing Team secara rasmi melancarkan kempen musim 2026 mereka dengan memperkenalkan barisan pelumba, livery baharu serta spesifikasi jentera dalam satu acara yang berlangsung di Publika.
Memasuki tahun kedua dalam kategori Pro-Am Kejuaraan Cub Prix Malaysia, pasukan ini tampil dengan pendekatan yang lebih agresif dan tersusun selepas mengutip pengalaman penting sepanjang musim debut mereka.
Bagi musim 2026, TW Racing Team akan menggunakan tiga unit Voge Formica Rossa FR150, hasil kerjasama strategik bersama Mforce Bike Holdings bagi memperkukuhkan prestasi di litar.

Identiti Pasukan Berasaskan Media
Menurut Prinsipal Pasukan, Mohd Nizam Che Ahmad, latar belakang pasukan dalam industri media memberikan kelebihan tersendiri dalam membentuk identiti TW Racing.
Beliau menjelaskan bahawa pasukan ini bukan sahaja memberi fokus kepada prestasi di litar, malah turut menekankan penceritaan perjalanan pasukan kepada peminat, termasuk perkembangan pelumba dan suasana di paddock.
Pengalaman musim pertama juga menjadi asas penting untuk penambahbaikan, dengan pasukan kini tampil lebih jelas dari segi hala tuju, bukan sahaja untuk lebih kompetitif, tetapi juga sebagai platform yang menghubungkan komuniti perlumbaan.

Fokus Kepada Teknikal dan Pembangunan Pelumba
Pengurus Pasukan, Rosmaza bin Rami, menegaskan bahawa fokus utama musim ini adalah pada aspek teknikal dan pengurusan pelumba.
Beliau menyatakan setiap perincian seperti persediaan jentera, setup dan strategi perlumbaan memainkan peranan penting dalam menentukan prestasi di litar. Pada masa sama, pasukan turut memberi penekanan kepada pembangunan pelumba secara berperingkat untuk kejayaan jangka panjang.

Barisan Pelumba Seimbang
TW Racing Team menampilkan gabungan pelumba muda dan berpengalaman bagi musim 2026:
- Muhd Harith Rosmaza (21) – Pelumba muda yang konsisten sejak era pocket bike, menamatkan musim Pro-Am 2024 di tempat kelima keseluruhan dan meraih dua podium pada 2025.
- Muhd Haziq Rosmaza (22) – Berpengalaman dalam perlumbaan one-make dan merupakan juara Yamaha Super Series 2018, selain menduduki tempat ketiga keseluruhan Pro-Am 2023.
- Muhd Alaff Hairulnizan (27) – Melengkapkan barisan dengan pengalaman dalam pelbagai siri tempatan termasuk Wira KBS dan Cub Prix Pro-Am, serta beberapa pencapaian podium dalam perlumbaan endurance.
Sasar Prestasi Lebih Baik Musim Ini
Dengan struktur pasukan yang lebih kukuh, sokongan teknikal yang dipertingkatkan serta barisan pelumba yang seimbang, TW Racing Team dilihat bersedia untuk memberi saingan lebih sengit dalam musim 2026.
Kempen kali ini bukan sahaja menumpukan kepada keputusan di litar, tetapi juga memperkukuhkan kehadiran pasukan dalam arena permotoran tempatan serta mendekatkan dunia perlumbaan kepada komuniti peminat.



Facebook
Instagram
X (Twitter)
YouTube
LinkedIn
RSS