Pelumba IDEMITSU HONDA YAM RACING muncul juara CP150 selepas aksi penuh dramatik dan pertarungan lebih lapan pelumba di pusingan terakhir Malaysian Cub Prix 2026.

Langgan saluran Instagram kami untuk info dan berita terkini!
Pusingan kedua Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 kategori CP150 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang menyajikan antara perlumbaan paling dramatik musim ini apabila Md Haziq Md Fairues dari IDEMITSU HONDA YAM RACING muncul juara selepas aksi penuh mendebarkan hingga ke selekoh terakhir.
Bermula dari grid kompetitif selepas sesi Super Pole, perlumbaan terus rancak sejak lampu hijau apabila Kasma Daniel Kasmayudin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR mendahului perlumbaan.
Namun, kedudukan itu tidak bertahan lama apabila beberapa pelumba termasuk Md Fareez Afeez Abd Rahman dan Nazirul Izzat Md Bahauddin mula memberikan tekanan dalam kelompok hadapan.
Perlumbaan berubah rentak seawal lap kedua apabila Md Amirul Ariff Musa dari TAB SPORTS SCK HONDA RACING mengambil alih pendahuluan sebelum beberapa pelumba lain mula bersilih ganti di posisi depan.
Situasi semakin sengit apabila lebih lima pelumba mula bertarung rapat dalam satu kelompok besar, menjadikan perlumbaan sukar diramal.

Kasma kembali memimpin pada lap ketiga, namun tekanan daripada Abdullah Qayyum A Razak memastikan perebutan kemenangan terus terbuka.
Lap kelima dan keenam pula menyaksikan Muhammad Helmi Azman mencatat masa terpantas 1’21.951s sambil terus memberi tekanan kepada kelompok utama.
Menjelang pertengahan perlumbaan, Md Muzakkir Mohamed dari VOGE RACING TEAM sempat mengetuai perlumbaan sebelum kedudukan kembali berubah pada lap berikutnya. Kelompok hadapan ketika itu melibatkan lebih lapan pelumba yang semuanya berpotensi untuk menang.
Drama sebenar berlaku pada lap terakhir apabila Md Irfan Haykhal Amidi mendahului perlumbaan diikuti beberapa pencabar lain termasuk Nazirul dan Hafiy.
Namun segalanya berubah di selekoh terakhir apabila Azroy Hakeem Anuar dan Amirul terjatuh ketika sedang memburu kemenangan, sekali gus membuka ruang kepada perubahan besar saat akhir.
Dalam kekalutan tersebut, Haziq berjaya menyambar kemenangan dengan catatan masa 15’23.122s, hanya 0.006 saat di hadapan Md Iqbal Amri Abdul Malek yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua. Helmi pula melengkapkan podium di tempat ketiga.

“Ini perlumbaan yang sangat di luar jangkaan bagi saya kerana sebelum ini saya tidak pernah bersaing dalam keadaan semua pelumba berada dalam satu kelompok rapat seperti ini,” kata Haziq.
“Pada awal perlumbaan saya cuba kekal di hadapan, tetapi saya jatuh beberapa posisi ke belakang kerana terlalu ramai pelumba bertarung rapat.”
“Pada lap terakhir saya rasa tuah menyebelahi saya apabila ada pelumba melakukan kesilapan di selekoh terakhir dan ketika itu saya nampak peluang untuk cuba merebut kemenangan.”
“Penantian selama tiga tahun tanpa kemenangan akhirnya tidak sia-sia. Kemenangan ini saya dedikasikan kepada pasukan dan semua yang sentiasa menyokong saya.”

TOP 5 FASTEST – FINAL RACE
- Md Haziq Md Fairues – IDEMITSU HONDA YAM RACING (15’23.122s)
- Md Iqbal Amri Abdul Malek – AHM MOTOR SPORTS KM+ RACING LUBE (15’23.128s)
- Muhammad Helmi Azman – TAB SPORTS SCK HONDA RACING (15’23.165s)
- Md Farish Hafiy Farid Sezli – TAB SPORTS SCK HONDA RACING (15’23.215s)
- Ahmad Afif Amran – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (15’23.253s)



Facebook
Instagram
X (Twitter)
YouTube
LinkedIn
RSS