Tindakan diambil susulan aduan pertukaran hak milik tanpa pengetahuan pemilik, semua urusan kini perlu dibuat di kaunter JPJ.

Langgan saluran Instagram kami untuk info dan berita terkini!
Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) mengumumkan penangguhan sementara semua urusan tukar hak milik (THM) kenderaan secara dalam talian bermula 25 Mei 2026.
Menurut kenyataan rasmi yang dimuat naik menerusi Facebook JPJ, penangguhan tersebut melibatkan beberapa saluran dalam talian termasuk portal awam JPJ, kiosk serta rakan niaga rasmi iaitu MyEG dan eAuto Sdn Bhd.
JPJ memaklumkan tindakan itu diambil sebagai langkah kawalan segera selepas menerima beberapa aduan rasmi termasuk melalui media sosial berkaitan insiden pertukaran hak milik kenderaan yang didakwa berlaku tanpa pengetahuan pemilik berdaftar.
Menurut JPJ, isu tersebut dipandang serius terutama melibatkan aspek keselamatan dan penyelenggaraan rekod pendaftaran kenderaan dalam sistem jabatan itu.
“JPJ memandang serius perkara ini, khususnya yang melibatkan aspek penyelenggaraan dan keselamatan rekod pendaftaran kenderaan di dalam sistem JPJ,” menurut kenyataan tersebut.
Susulan itu, semua urusan tukar hak milik bagi kategori persendirian individu dan persendirian syarikat kini perlu dilakukan secara fizikal di kaunter pejabat JPJ di seluruh negara.
Bagi kategori persendirian individu, proses tukar hak milik masih boleh diselesaikan pada hari sama di semua Pejabat JPJ Negeri dan cawangan.
Sementara itu, bagi kategori persendirian syarikat, proses semakan dan kelulusan akan mengambil masa antara lima hingga tujuh hari bekerja selepas dokumen lengkap diserahkan kepada JPJ.
Dalam masa sama, JPJ menjelaskan bahawa bagi sistem melalui penyedia perkhidmatan eAuto, hanya urusan Sistem Tukar Hak Milik Sementara (STMS) masih dibenarkan beroperasi seperti biasa.
Bagaimanapun, sistem eSerahan Tukar Milik (eSTM) bagi urusan tukar hak milik kekal ditangguhkan buat sementara waktu.
JPJ turut memaklumkan bahawa mana-mana pihak termasuk syarikat jual beli motosikal atau kereta terpakai yang ingin melaksanakan urusan eSTM perlu hadir sendiri ke Pejabat JPJ Negeri atau cawangan berhampiran untuk membuat permohonan.
Menurut JPJ lagi, pihaknya kekal komited untuk terus memperkukuh sistem pengurusan dan kawalan rekod pendaftaran kenderaan dari semasa ke semasa demi keselamatan pengguna.
Pada masa sama, orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa menyemak dan mengemas kini maklumat kenderaan masing-masing bagi mengelakkan sebarang isu berkaitan pemilikan atau rekod pendaftaran di masa hadapan.



Facebook
Instagram
X (Twitter)
YouTube
LinkedIn
RSS