Selepas hampir sedekad, MODENAS kembali ke litar manakala kemunculan Eastel TKKR Racing tambah bahang musim baharu.

Langgan saluran Instagram kami untuk info dan berita terkini!
Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd.(MODENAS) secara rasmi mengumumkan penyertaan semula dalam Kejohanan Malaysian Cub Prix bagi musim 2026, sekali gus menandakan kemunculan semula jenama nasional itu selepas hampir sedekad tidak terlibat secara langsung.
Untuk kempen kali ini, MODENAS mempertaruhkan model baharu Modenas Z15GT dalam kategori Pro-Am sebagai platform pembangunan prestasi dan bakat tempatan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Roslan Roskan, penyertaan ini selari dengan pengenalan model Z15GT yang dibangunkan sepenuhnya di fasiliti MODENAS di Gurun, Kedah.
Beliau yakin model tersebut mampu memberikan saingan kompetitif di litar, selain menjadi asas penting dalam pembangunan jentera berprestasi tinggi untuk masa depan.
Bagi musim 2026, MODENAS akan bekerjasama dengan empat pasukan dalam kategori Pro-Am iaitu Raynorton Motorsport, Maju Mega Bike Racing Team, MC Tajam Racing Team dan DF Racing Team. Pemilihan dibuat berdasarkan rekod prestasi, keupayaan teknikal serta potensi pembangunan jangka panjang.

Strategi Berperingkat ke Arah Kategori Lebih Tinggi
Roslan turut menjelaskan bahawa MODENAS mengambil pendekatan berperingkat dengan bermula melalui kerjasama bersama pasukan sedia ada sebelum mempertimbangkan penyertaan dalam kategori lebih kompetitif seperti CP150 pada masa akan datang.
Tambah beliau, pemilihan pelumba diserahkan kepada pasukan masing-masing bagi memastikan keserasian antara pelumba dan jentera dapat dioptimumkan.
Platform Uji Prestasi Sebenar
Ketua Pegawai Pemasaran, Jin Inoue, menyifatkan penyertaan Z15GT dalam Cub Prix sebagai langkah penting untuk mempamerkan keupayaan sebenar model tersebut dalam keadaan perlumbaan.
Menurutnya, Z15GT dibangunkan sebagai antara jentera paling berkuasa dalam kelasnya dan dijangka mampu memberikan saingan sengit serta aksi perlumbaan yang menarik sepanjang musim.

Kemunculan Semula Eastel TKKR Racing
Dalam perkembangan sama, Eastel TKKR Racing Team turut mengumumkan kemunculan semula mereka dalam kategori utama CP150 dengan menggunakan jentera Z15GT.
Kembalinya pasukan ini juga seiring dengan pengenalan jenama telco baharu, Eastel (MVNO), yang mahu mendekati komuniti motosikal dan generasi muda melalui platform perlumbaan.
Prinsipal pasukan, Adam Fiqrie, memberi bayangan bahawa pengalaman di peringkat antarabangsa akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk membuktikan jentera tempatan mampu bersaing dengan jenama besar.
Dengan kembalinya MODENAS dan kemunculan semula TKKR, musim 2026 Malaysian Cub Prix dijangka lebih sengit dan menarik. Tirai musim akan dibuka di Litar Tangkak, Johor pada hujung bulan ini, dengan persaingan sudah mula terasa sebelum lampu hijau dinyalakan.



Facebook
Instagram
X (Twitter)
YouTube
LinkedIn
RSS