Pelumba muda negara bangkit daripada kemalangan sesi latihan untuk meraih podium pertama kariernya dalam Kejuaraan Dunia Moto3.

Pelumba muda sensasi negara, Hakim Danish Ramli, mencipta sejarah tersendiri apabila meraih podium sulung dalam Kejuaraan Dunia Moto3 selepas menamatkan Perlumbaan Grand Prix Itali di Mugello di tempat ketiga.
Keputusan bersejarah itu hadir selepas pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi tersebut mempamerkan semangat juang luar biasa sepanjang hujung minggu perlumbaan yang penuh cabaran.
Segalanya tidak bermula dengan mudah buat Hakim Danish apabila beliau mengalami kemalangan high-side ketika sesi latihan sebelum sekali lagi terjatuh pada hari Jumaat. Insiden tersebut memaksanya memulakan cabaran dari sesi Kelayakan 1 (Q1), sekali gus meletakkan dirinya dalam situasi sukar untuk memburu kedudukan terbaik di grid.

Namun begitu, pelumba kelahiran Terengganu itu berjaya membuktikan kematangannya apabila melepasi Q1 sebelum mencatat masa kedua terpantas dalam Q2 untuk mengesahkan tempat di barisan hadapan.
Nasib turut menyebelahinya apabila pelumba Sepanyol, David Almansa, disahkan tidak cergas untuk berlumba, sekali gus menyaksikan Hakim Danish dinaikkan ke petak pertama untuk perlumbaan utama.
Sebaik lampu hijau dipadamkan, Hakim Danish terus berada dalam kelompok hadapan dan terlibat dalam pertarungan sengit bersama pelumba-pelumba terbaik dunia sepanjang 17 pusingan perlumbaan.
Seperti kebiasaan perlumbaan Moto3, kedudukan sentiasa berubah-ubah dengan Hakim Danish pernah jatuh sehingga ke tempat kelapan di pertengahan perlumbaan. Namun beliau tidak pernah berputus asa dan terus mengekalkan tekanan terhadap kelompok hadapan.
Pada pusingan terakhir, Hakim Danish melakukan beberapa aksi memotong yang cukup berani sebelum berjaya merampas kedudukan podium dan melintasi garisan penamat di tempat ketiga.

Beliau menamatkan perlumbaan di belakang dua pelumba Red Bull KTM Ajo iaitu Brian Uriarte yang muncul juara dan Alvaro Carpe di tempat kedua.
Lebih manis, kejayaan itu menamatkan penantian selama 10 tahun Malaysia untuk melihat pelumba negara kembali menaiki podium Moto3 sejak kemenangan bersejarah Khairul Idham Pawi di Grand Prix Jerman pada tahun 2016.
Tambahan 16 mata yang diperoleh di Mugello turut melonjakkan Hakim Danish ke tangga ke-11 keseluruhan carta Kejuaraan Dunia Moto3 dengan kutipan 43 mata selepas tujuh pusingan.
“Hari ini saya berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dan meraih podium. Ini adalah podium pertama saya dalam Kejuaraan Dunia Moto3 dan saya sangat gembira dengan keputusan ini,” kata Hakim Danish.

“Saya memberikan segala-galanya dari awal sehingga ke garisan penamat. Saya berlumba dengan mentaliti untuk tidak pernah berputus asa dan sentiasa fokus kepada sasaran podium.”
“Perlumbaan ini sangat sengit kerana kedudukan sentiasa berubah. Walaupun saya sedikit ketinggalan pada pusingan terakhir, saya cuba kekal tenang dan mencari peluang untuk memotong seorang demi seorang. Syukur, strategi itu berjaya.”
“Hujung minggu ini bukan mudah untuk saya kerana saya terjatuh dua kali pada hari Jumaat, tetapi saya berjaya bangkit semula. Saya sangat gembira dan berharap ini menjadi permulaan kepada lebih banyak keputusan cemerlang selepas ini.”
“Terima kasih kepada keluarga, pasukan dan semua yang sentiasa memberikan sokongan kepada saya sepanjang perjalanan ini.”

Pencapaian tersebut turut mendapat pujian daripada pasukannya yang menyifatkan podium itu sebagai hasil kerja keras, pengorbanan dan keyakinan yang telah dibina sejak awal karier Hakim Danish.
Walaupun berdepan kemalangan besar pada sesi latihan, pelumba muda negara itu membuktikan dirinya memiliki mentaliti seorang juara apabila bangkit semula dan bersaing di kelompok hadapan sehingga berjaya meraih podium pertama dalam musim debutnya di Moto3.
Kejayaan di Mugello bukan sahaja menjadi pencapaian terbesar dalam kariernya setakat ini, malah mengukuhkan lagi status Hakim Danish sebagai antara bakat muda paling menyerlah yang dimiliki Malaysia ketika ini.
Dengan keyakinan yang semakin meningkat selepas podium sulung tersebut, tumpuan kini beralih kepada pusingan seterusnya apabila Hakim Danish berusaha meneruskan momentum cemerlang dan memburu lebih banyak kejayaan di pentas Kejuaraan Dunia Moto3 musim 2026.



Facebook
Instagram
X (Twitter)
YouTube
LinkedIn
RSS