Hakim Danish tamat perlumbaan di kedudukan ke-10 selepas bergelut dengan keadaan litar basah dan kekurangan data setup.

Langgan saluran Instagram kami untuk info dan berita terkini!
Hasrat pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli, untuk memburu keputusan lebih baik di GP Perancis 2026 tidak kesampaian apabila keadaan litar basah dan licin di Le Mans menjejaskan rentak perlumbaannya, hari ini.
Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI itu bagaimanapun tetap berjaya mengutip mata penting selepas menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-10 dalam aksi yang penuh mencabar dan dramatik. Perlumbaan tersebut menyaksikan hampir separuh pelumba gagal menamatkan saingan akibat terjatuh dalam keadaan litar yang berbahaya.
Hakim Danish yang memulakan perlumbaan dari petak ke-12 hadir ke Le Mans dengan keyakinan tinggi selepas mempamerkan prestasi memberangsangkan sepanjang hujung minggu perlumbaan. Anak jati Terengganu itu berjaya mara ke sesi kelayakan kedua (Q2) selain konsisten mencatat masa kompetitif ketika sesi latihan bebas dan kelayakan dalam keadaan litar kering.

Hujan ubah segala perancangan pasukan
Namun, situasi berubah sepenuhnya apabila hujan mula membasahi Litar Le Mans sebelum perlumbaan bermula. Keadaan itu memaksa pasukan melakukan pelarasan baharu terhadap setup jentera bagi menyesuaikan diri dengan permukaan litar yang licin.
Ketiadaan data dan sesi latihan dalam keadaan hujan di Le Mans nyata memberi cabaran besar kepada pasukan dan Hakim Danish. Pelumba muda negara itu dilihat bergelut untuk mendapatkan keyakinan penuh terhadap jenteranya, sekali gus memaksanya mengubah strategi perlumbaan daripada memburu kelompok hadapan kepada fokus untuk menamatkan perlumbaan dengan selamat.
Pendekatan lebih berhati-hati akhirnya membuahkan hasil apabila Hakim Danish berjaya mengelak daripada menjadi antara mangsa kemalangan di Le Mans. Keputusan tersebut menyaksikan beliau kini berada di kedudukan ke-15 keseluruhan kejuaraan dengan kutipan 18 mata setakat ini.

Hakim Danish akui kurang yakin dalam keadaan hujan
Mengulas mengenai perlumbaan tersebut, Hakim Danish mengakui beliau berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan keadaan litar basah selain tidak mempunyai keyakinan penuh terhadap setup jentera.
“Syukur Alhamdulillah, saya berjaya menamatkan perlumbaan di Le Mans di kedudukan ke-10 terbaik. Dalam perlumbaan hari ini yang berlangsung dalam keadaan hujan, saya melakukan permulaan yang baik dan cuba berada dalam kelompok hadapan.
“Namun, ia agak sukar kerana saya rasa kurang yakin ketika bersaing dalam keadaan litar basah. Mungkin setup jentera pada hari ini juga tidak begitu sesuai dengan keadaan perlumbaan, jadi saya agak sukar untuk mendapatkan keyakinan penuh ketika menunggang.
“Saya cuba mengekalkan rentak dan kedudukan kerana jika terlalu memaksa, kemungkinan untuk terjatuh pada perlumbaan ini memang tinggi,” katanya.
Hakim Danish turut menjelaskan bahawa beliau sebenarnya cukup yakin dengan prestasi jentera sepanjang hujung minggu ketika keadaan litar kering, namun perlumbaan hujan tanpa sebarang data awal memberikan cabaran besar buat pasukan.

Zulfahmi: “P10 tetap keputusan positif”
Sementara itu, Pengurus Pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin, menyifatkan keseluruhan hujung minggu di Le Mans sebagai sesuatu yang positif walaupun keputusan perlumbaan tidak seperti diharapkan.
“Dalam sesi latihan dan sesi kelayakan, kami berjaya tunjukkan prestasi yang baik dan Hakim berada dalam kelompok kompetitif.
“Cuma ketika perlumbaan, kami mengharapkan keputusan yang lebih baik apabila hujan turun kerana kami tahu rekod Hakim berlumba dalam keadaan basah di litar ini sangat bagus.
“Namun, apabila pelumba tidak mempunyai keyakinan terhadap jentera dalam keadaan hujan, memang sukar untuk menunggang pada tahap maksimum,” jelasnya.
Menurut Zulfahmi, fokus utama pasukan ketika perlumbaan adalah memastikan Hakim Danish berjaya menamatkan perlumbaan memandangkan ramai pelumba lain terjatuh akibat keadaan litar yang berbahaya.
Beliau percaya keputusan lebih baik mampu dicapai sekiranya pasukan berjaya mendapatkan setup lebih sesuai untuk keadaan basah, namun tetap menganggap kedudukan ke-10 sebagai keputusan yang positif.
Keyakinan meningkat menjelang Catalunya
Walaupun gagal menamatkan perlumbaan dalam kelompok hadapan, aksi di Le Mans tetap memberikan petanda positif buat Hakim Danish menjelang pusingan seterusnya di Catalunya.
Prestasi konsisten yang dipamerkan ketika keadaan litar kering sepanjang hujung minggu membuktikan pelumba muda negara itu terus menunjukkan peningkatan dan berpotensi untuk kembali bersaing lebih kompetitif pada perlumbaan akan datang.



Facebook
Instagram
X (Twitter)
YouTube
LinkedIn
RSS