Model crossover 645cc V-Twin ini hadir dengan teknologi Suzuki Intelligent Ride System (S.I.R.S.), quickshifter dua hala, paparan TFT 4.2 inci serta kelengkapan touring untuk perjalanan jarak jauh.

Langgan saluran Instagram kami untuk info dan berita terkini!
Suzuki Malaysia secara rasmi melancarkan Suzuki SV-7GX 2027 sempena acara AMI Suzuki New Model Launch & Gala Dinner 2026 yang berlangsung di Courtyard by Marriott Kuala Lumpur South. Model crossover kelas pertengahan ini diperkenalkan pada harga pengenalan RM37,900.
Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh YBhg. Datuk Azman Adam, Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), bersama Mr. Takashi Ise, Managing Officer dan Executive General Manager of Motorcycle Operations, Suzuki Motor Corporation, Jepun.
Membawa semangat model popular SV650 ke generasi baharu, SV-7GX menggabungkan pengendalian sebuah motosikal sport dengan posisi tunggangan tegak serta keupayaan untuk perjalanan jarak jauh. Model ini dibangunkan untuk penunggang yang mahukan sebuah motosikal sesuai untuk kegunaan harian, namun masih menawarkan keselesaan ketika perjalanan jauh.

Suzuki SV-7GX dikuasakan enjin 645cc, 4-lejang, penyejukan cecair, DOHC, 90-darjah V-Twin yang diambil daripada SV650. Enjin tersebut dipadankan dengan kerangka tubular steel trellis yang ringan serta sistem suspensi dengan jarak pergerakan lebih panjang bagi memberikan keseimbangan antara prestasi sporty dan keselesaan tunggangan.
Untuk sistem membrek, SV-7GX dilengkapi cakera berkembar terapung 290mm di bahagian hadapan bersama angkup empat piston Tokico dan sistem ABS. Melengkapkan bahagian casis, motosikal ini menggunakan rim aluminium tuang bersaiz 17 inci yang dipadankan dengan tayar radial sport-touring Pirelli Angel GT II dari kilang. Saiz tayar adalah 120/70 di hadapan dan 160/60 di belakang.
Dari segi teknologi, SV-7GX dilengkapi Suzuki Intelligent Ride System (S.I.R.S.) yang menawarkan beberapa sistem bantuan elektronik kepada penunggang. Antaranya ialah Suzuki Drive Mode Selector (SDMS) dengan tiga pilihan mod untuk menyesuaikan respons pendikit dan enjin, serta Suzuki Traction Control System (STCS) dengan tiga mod termasuk pilihan untuk menyahaktifkannya.
Satu lagi ciri menarik ialah sistem bi-directional quickshifter yang membolehkan penukaran gear naik dan turun tanpa menggunakan klac, sekali gus memberikan pertukaran gear yang lebih lancar. Suzuki Easy Start System dan Low RPM Assist turut disediakan sebagai kelengkapan standard.
Bahagian meter pula menggunakan paparan TFT berwarna penuh bersaiz 4.2 inci dengan sambungan telefon pintar Suzuki Ride Connect+. Sistem ini menawarkan navigasi turn-by-turn, notifikasi panggilan dan mesej, serta maklumat cuaca dan keadaan trafik. Sebuah port pengecasan USB Type-C turut disediakan untuk mengecas peranti elektronik penunggang.
Bagi meningkatkan keselesaan ketika perjalanan jauh, SV-7GX dilengkapi penghadang angin yang boleh dilaraskan kepada tiga tahap, kusyen tempat duduk dengan lapisan lebih tebal serta pelindung tangan bersepadu.
Motosikal ini turut mempunyai tangki bahan api berkapasiti 17.4 liter. Bahagian belakang pula dilengkapi pembawa barangan (rear carrier) dan pemegang pembonceng bersaiz besar untuk memudahkan urusan membawa bagasi. Sistem pencahayaan menggunakan lampu LED sepenuhnya, termasuk lampu hadapan jenis dual-function projector.

Suzuki SV-7GX 2027 ditawarkan dalam empat pilihan warna iaitu Pearl Brilliant White dengan Metallic Triton Blue, Pearl Mat Greige, Glass Sparkle Black dan Pearl Brilliant White.
Selain itu, penunggang yang ingin menambah kelengkapan motosikal boleh mendapatkan Suzuki Genuine Accessories seperti tempat duduk tinggi jenis comfort, touring screen, top case, beg sisi lembut (soft side cases) dan pemanas grip tangan. Bagaimanapun, ketersediaan aksesori tersebut bergantung kepada pasaran Malaysia.
Dengan enjin V-Twin yang diwarisi daripada SV650, teknologi bantuan elektronik moden serta kelengkapan berorientasikan touring, Suzuki SV-7GX menawarkan pilihan baharu dalam segmen crossover kelas pertengahan di Malaysia, khususnya untuk penunggang yang mahukan gabungan karakter sporty dan keselesaan perjalanan jarak jauh..




Facebook
Instagram
X (Twitter)
YouTube
LinkedIn
RSS