Kalau motor rasa bergegar tiap kali brek, jangan abaikan simptom ni. Ketahui punca-puncanya dan apa yang perlu dilbuat sebelum keadaan menjadi lebih serius.

Langgan saluran Instagram kami untuk info dan berita terkini!
Sistem brek merupakan antara komponen keselamatan paling penting pada sesebuah motosikal. Sebab tu, kalau dah mula rasa gegar pada handlebar, pedal brek atau keseluruhan motosikal ketika brek, ia mungkin menandakan ada sesuatu yang tak kena pada sistem brek.
Masalah ini bukan sahaja boleh mengganggu keselesaan ketika menunggang, tapi berpotensi menjejaskan prestasi brek kalau dibiarkan terlalu lama. Berikut merupakan beberapa perkara yang perlu diperiksa kalau brek motosikal dah mula terasa bergegar.
1. Periksa Keadaan Brake Pad
Perkara pertama yang perlu dibuat ialah periksa brake pad. Komponen ini menghasilkan geseran dengan brake disc untuk memperlahankan atau memberhentikan motosikal. Bila brake pad dah terlalu nipis atau haus secara tak sekata, sentuhan pada brake disc menjadi tak sekata dan boleh menyebabkan gegaran setiap kali brek.
Selain menyebabkan gegaran, brake pad yang haus juga akan kurangkan kecekapan membrek dan boleh memanjangkan stopping distance. Kalau korang tengok brake pad makin nipis atau dengar bunyi geseran yang luar biasa, mungkin dah tiba masa untuk menukarnya.
2. Pastikan Brake Disc Tak Bengkok
Brake disc yang bengkok atau dah haus secara tak sekata merupakan antara punca utama brek rasa bergegar. Keadaan ini biasanya berlaku akibat hentakan kuat, penggunaan yang terlalu lama atau suhu yang terlalu tinggi ketika brek dengan kerap.
Bila permukaan brake disc tak lagi rata, brake pad akan menyentuh disc secara tak sekata setiap kali brek ditekan. Hasilnya, korang akan rasa gegaran pada handlebar atau keseluruhan motosikal. Kalau terdapat kesan retak atau kerosakan yang jelas, brake disc perlu diperiksa dan diganti jika perlu.

3. Bersihkan Sistem Brek
Ramai rider tak sedar bahawa habuk brek, pasir, lumpur dan kotoran yang terkumpul pada brake disc atau brake caliper juga boleh menjejaskan prestasi sistem brek. Kotoran ini boleh menyebabkan geseran yang tak konsisten dan menghasilkan rasa bergegar ketika brek.
Jadikan rutin untuk membersihkan bahagian brek setiap kali mencuci motosikal atau selepas melalui jalan yang berdebu dan berlumpur. Sistem brek yang bersih bukan sahaja berfungsi dengan lebih lancar, tapi juga membantu memanjangkan jangka hayat brake pad dan brake disc.
4. Periksa Brake Caliper
Brake caliper berfungsi untuk mencengkam brake pad ke arah brake disc bila anda tarik lever atau menekan pedal brek. Kalau piston dalam caliper tersekat atau tak bergerak dengan lancar, tekanan yang dikenakan pada brake pad menjadi tak sekata dan boleh menyebabkan gegaran.
Selain itu, brake caliper yang kotor atau kurang diselenggara juga boleh mengurangkan prestasi brek. Pemeriksaan berkala oleh mekanik dapat memastikan semua komponen dalam caliper berada dalam keadaan baik dan berfungsi seperti yang sepatutnya.
5. Semak Paras dan Keadaan Minyak Brek
Minyak brek memainkan peranan penting dalam menghantar tekanan daripada brake lever kepada sistem brek. Kalau paras minyak terlalu rendah atau minyak brek dah lama tak ditukar, prestasi brek boleh terjejas dan menyebabkan rasa yang kurang konsisten ketika brek.
Pastikan paras minyak brek sentiasa berada pada tahap yang disyorkan dan tukar ikut jadual penyelenggaraan motosikal. Walaupun ia nampak seperti perkara kecil, minyak brek yang berada dalam keadaan baik sangat penting untuk memastikan sistem brek berfungsi dengan cekap.

6. Elakkan Tabiat Brek Secara Mengejut
Cara korang gunakan brek juga memberi kesan kepada ketahanan komponen sistem brek. Tabiat membrek secara mengejut atau terlalu kerap menekan brek dengan kuat boleh mempercepatkan kehausan brake pad dan meningkatkan suhu brake disc.
Amalkan teknik membrek secara progresif dengan menggunakan brek hadapan dan belakang secara seimbang. Selain menjadikan tunggangan lebih lancar, ia juga bantu memanjangkan jangka hayat komponen brek serta mengurangkan risiko kerosakan pada masa akan datang.
Kesimpulan
Brek yang bergegar bukan benda yang boleh dipandang ringan. Sama ada berpunca daripada brake pad yang haus, brake disc yang bengkok, brake caliper yang bermasalah atau minyak brek yang dah lama tidak ditukar, semuanya boleh menjejaskan prestasi brek dan keselamatan di jalan raya.
Lakukan pemeriksaan secara berkala dan jangan tunggu sehingga brek gagal berfungsi dengan baik. Sistem brek yang sentiasa berada dalam keadaan terbaik bukan sahaja memberikan keyakinan ketika menunggang, tapi mampu mengelakkan daripada terjadi kemalangan yang tak diingini.




Facebook
Instagram
X (Twitter)
YouTube
LinkedIn
RSS