Skuter kembara premium ini hadir dengan enjin dua silinder 398cc, suspensi KYB, pelbagai teknologi moden dan ciri keselesaan untuk tunggangan harian serta pengembaraan jarak jauh.

Langgan saluran Instagram kami untuk info dan berita terkini!
VOGE Malaysia secara rasminya telah melancarkan VOGE SR450X di pasaran tempatan susulan penampilan sulungnya di Mforce MotoXperience 2026, yang diadakan semasa Malaysia Bike Show di MAEPS, Serdang. Direka sebagai skuter kembara premium, SR450X menggabungkan prestasi, keselesaan dan teknologi moden untuk penunggang yang mahukan fleksibiliti dalam perjalanan harian dan perjalanan yang lebih jauh.
SR450X berharga RM29,888, tidak termasuk cukai jalan dan insurans, dan ditawarkan dalam tiga pilihan warna: Alpine Green, Cosmic Blue dan Onyx Black.

Enjin Dwi-Silinder 398cc Memberikan Prestasi yang Mantap
VOGE SR450X dikuasakan oleh enjin 398cc dwi-silinder empat lejang, lapan injap, penyejukan cecair yang menghasilkan 31 kW (sekitar 42 hp) pada 8,000 rpm dan 42 Nm tork pada 5,750 rpm. Enjin ini mempunyai ukuran piston dan lejang 84 mm x 72 mm, nisbah mampatan 11:1, Suntikan Bahan Api Elektronik (EFI), dan sistem pencucuhan TCI.
Menurut VOGE, gabungan ini memberikan prestasi yang responsif serta pengalaman tunggangan yang lebih lancar dan selesa untuk pelbagai jenis perjalanan. SR450X juga didakwa sebagai skuter kembara premium pertama dalam kelasnya yang menampilkan enjin dwi-silinder.

Mod Tunggangan dan Tangki Bahan Api Besar untuk Perjalanan Lebih Jauh
Enjin ini digandingkan dengan transmisi CVT automatik dan pacuan tali sawat, dilengkapi dengan sistem pendikit dwi-kabel yang memberikan tindak balas pendikit yang lebih lancar dan tepat.
Penunggang boleh memilih antara mod tunggangan Normal dan Sport bergantung pada keadaan jalan raya atau pilihan peribadi. Ciri-cirinya ditambahkan lagi dengan tangki bahan api 18 liter yang besar, membolehkan SR450X menempuh jarak yang lebih jauh.

Suspensi KYB dan Komponen Brek Premium
Untuk suspensi, VOGE SR450X dilengkapi dengan fork hadapan terbalik KYB 37 mm yang menampilkan sistem redaman boleh laras sepenuhnya dan jarak pergerakan 122 mm.
Di bahagian belakang, skuter ini menggunakan penyerap hentak berkembar jenis ruang udara KYB dengan pelarasan prabeban dan redaman mampatan, memberikan jarak pergerakan 123 mm. Konfigurasi ini turut disokong oleh swing arm aluminium aloi satu sisi, membantu meningkatkan keselesaan dan kestabilan sama ada menunggang di bandar atau di jalan yang lebih lasak.
Prestasi brek datang daripada cakera tunggl terapung 300 mm yang dipasangkan dengan angkup J.JUAN empat piston di hadapan, manakala bahagian belakang menggunakan cakera tunggal 240 mm dengan angkup NISSIN empat piston.

Didatangkan Dengan Ciri-Ciri Keselamatan Moden
SR450X dilengkapi dengan beberapa sistem bantuan penunggang yang direka untuk meningkatkan tahap keselamatan dan keyakinan. Antara ciri-ciri utamanya ialah Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) yang boleh diaktifkan atau dinyahaktifkan, membolehkan penunggang mengekalkan kestabilan dan kawalan yang lebih baik semasa brek kecemasan atau semasa menunggang di permukaan jalan yang mencabar.
Skuter ini juga mempunyai sistem Pengesanan Titik Buta, yang membantu penunggang mengesan kenderaan dalam titik buta semasa menukar lorong, sekali gus meningkatkan kesedaran semasa menunggang.
SR450X dilengkapi roda jejari 17 inci yang dibalut tayar blok MAXXIS, berukuran 110/70 di bahagian hadapan dan 150/70 di bahagian belakang, mengukuhkan lagi karakter kembaranya.
Dibina untuk Keselesaan dan Pengembaraan
Dari segi dimensi, VOGE SR450X berukuran 2,165 mm panjang, 879 mm lebar, dan 1,440 mm tinggi, dengan jarak roda 1,518 mm. Motosikal ini mempunyai ketinggian tempat duduk 795 mm, kelegaan tanah 180 mm, dan berat 220 kg, menawarkan keseimbangan antara aksesibiliti dan kestabilan untuk tunggangan jarak jauh.
Keselesaan juga telah diutamakan dengan peralatan premium, termasuk:
- Pemanas grip tiga tahap
- Pemanas tempat duduk penunggang dan pembonceng
- Cermin depan boleh laras secara elektrik
- Pelindung tangan
- Palang pelindung
- Lampu kabus
- Pelapik kaki anti-gelincir gaya off-road
- Pembukaan tempat duduk bantuan hidraulik
Ciri-ciri ini menjadikan SR450X sesuai untuk penunggang yang kerap menunggang jarak jauh atau dalam keadaan cuaca yang berbeza-beza.
Teknologi Moden dan Praktikal Harian
VOGE SR450X dilengkapi dengan paparan TFT berwarna penuh tujuh inci yang menyokong fungsi navigasi melalui paparan skrin menerusi aplikasi Carbit Ride.
Ciri-ciri teknologi lain termasuk:
- Sambungan Bluetooth untuk panggilan, nombor kenalan dan muzik
- Sistem tanpa kunci
- Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS)
- Port pengecasan USB Type-A dan USB Type-C
- Soket kuasa tambahan di dalam ruang penyimpanan
- Ruang simpanan hadapan dan bawah tempat duduk
- Cangkuk utiliti
- Tuil brek parkir
- Butang pembuka tempat duduk
Untuk kemudahan dan keselamatan tambahan, skuter ini juga dilengkapi sistem kamera papan pemuka hadapan dan belakang, yang membolehkan penunggang merakam setiap perjalanan. Sistem pencahayaan LED penuh juga dipasang, merangkumi lampu hadapan, lampu belakang, lampu isyarat, lampu kecemasan dan lampu nombor pendaftaran.
Waranti dan Faedah Pemilikan
Setiap pembelian VOGE SR450X didatangkan dengan waranti pengeluar selama dua tahun. Motosikal ini menerima perlindungan komprehensif penuh selama dua tahun atau 20,000 km, yang mana terdahulu. Jika perbatuan melebihi 20,000 km dalam tempoh 2 tahun tersebut, komponen enjin tertentu akan kekal dilindungi di bawah waranti perbatuan tanpa had bagi baki tempoh waranti yang ada.
VOGE Malaysia juga menawarkan kemudahan kepada pelanggan untuk membeli alat ganti tulen melalui platform dalam taliannya, tertakluk kepada terma dan syarat.
Dengan gabungan enjin dua silinder, suspensi premium, elektronik termaju dan peralatan yang berfokus pada pengembaraan, VOGE SR450X memasuki pasaran Malaysia sebagai skuter kembara yang penuh dengan ciri-ciri yang disasarkan kepada penunggang yang mahukan keselesaan, praktikal dan keupayaan jarak jauh.




Facebook
Instagram
X (Twitter)
YouTube
LinkedIn
RSS