Zen One, G2 EVO dan MTX Trico hadir dengan rangkaian ciri komunikasi pintar, teknologi ‘Noise Cancellation’ serta sambungan serba boleh buat para penunggang.

Langgan saluran Instagram kami untuk info dan berita terkini!
LEXIN Malaysia memperkenalkan tiga model interkom Bluetooth motosikal baharu, iaitu Zen One, G2 EVO dan MTX Trico, bagi memberikan lebih banyak pilihan kepada penunggang yang mahukan kemudahan komunikasi dan hiburan ketika menunggang.
Ketiga-tiga model tersebut diperkenalkan menerusi acara LEXIN Mega Launch x Soon Heng Bikers Gathering yang berlangsung di Laman To’ki, Bentong, Pahang. Acara itu turut dihadiri penunggang motosikal terkenal dan Global Dream Rider, Anita Yusof.
Interkom Bluetooth kini menjadi antara aksesori yang semakin penting bagi penunggang motosikal. Selain membolehkan pengguna mendengar arahan navigasi GPS, menjawab panggilan telefon dan menikmati muzik, peranti ini turut memudahkan komunikasi antara penunggang ketika melakukan perjalanan berkumpulan.
Menerusi pelancaran ini, LEXIN mahu menjadikan teknologi komunikasi Bluetooth lebih mudah diakses oleh penunggang motosikal, tanpa perlu menganggapnya sebagai aksesori premium semata-mata.
LEXIN Zen One – RM98
Ditawarkan pada harga RM98, Zen One merupakan model paling mampu milik dalam rangkaian baharu ini. Ia dilengkapi teknologi pembatalan hingar DSP dan CVC bagi membantu menghasilkan audio yang lebih jelas ketika digunakan. Peranti ini turut menggunakan pembesar suara berukuran 40mm serta menyokong pembantu suara seperti Siri dan S-Voice.
Zen One juga mempunyai ciri kalis air dan menawarkan tempoh operasi sehingga 25 jam. Menurut LEXIN, kualiti audio masih boleh dinikmati dengan jelas pada kelajuan sehingga 150km/j. Model ini ditawarkan dalam lima pilihan warna, iaitu hitam, oren, biru, hijau dan merah jambu.
LEXIN G2 EVO – RM258 / RM498
Bagi penunggang yang mahukan lebih banyak fungsi komunikasi, LEXIN G2 EVO ditawarkan pada harga RM258 untuk unit tunggal dan RM498 bagi pakej dua unit. Model ini menggunakan teknologi Bluetooth 5.4 serta menyokong fungsi Dual Bluetooth Multi-Audio. Ia turut dilengkapi pembesar suara HD berukuran 40mm dan teknologi pembatalan hingar.
G2 EVO menawarkan jarak komunikasi interkom sehingga 1,200 meter. Ia menggunakan bateri berkapasiti 1,000mAh yang mampu memberikan tempoh penggunaan sehingga 30 jam untuk muzik atau panggilan telefon, manakala penggunaan muzik bersama interkom boleh bertahan sehingga 15 jam.
Pengecasan dilakukan menerusi sambungan USB-C, sementara reka bentuk cangkerangnya boleh ditukar mengikut pilihan pengguna. G2 EVO ditawarkan dalam pilihan warna hitam, hijau, merah dan biru.
LEXIN MTX Trico – RM498
Sebagai model paling lengkap antara tiga produk yang diperkenalkan, LEXIN MTX Trico dijual pada harga RM498. Ia menggunakan teknologi Mesh 3.0 yang membolehkan komunikasi persidangan melibatkan sehingga 24 penunggang, merentasi 10 saluran berbeza. Jarak komunikasi pula boleh mencapai sehingga 2,000 meter.
Selain sambungan Mesh, MTX Trico turut menyokong interkom Bluetooth untuk komunikasi antara dua penunggang. Antara kelengkapan lain termasuk pembesar suara Lexin Pulse berukuran 43mm, fungsi perkongsian muzik, teknologi pembatalan hingar dan pengecasan pantas USB-C. Model ini juga mempunyai ciri kalis air.
Ketiga-tiga model baharu LEXIN ini didatangkan dengan waranti selama dua tahun, manakala baterinya menerima tambahan waranti selama tiga tahun. Bagi kerosakan akibat kecacatan pembuatan, pengguna layak menerima penggantian unit baharu secara satu-ke-satu menerusi pengedar sah. Bagaimanapun, resit pembelian perlu dikemukakan sebagai bukti.
LEXIN Zen One, G2 EVO dan MTX Trico kini boleh didapati menerusi rangkaian pengedar sah LEXIN di seluruh negara.




Facebook
Instagram
X (Twitter)
YouTube
LinkedIn
RSS