Anthony Loke mahu kerja penambahbaikan sistem tidak ganggu urusan pengguna dan elak kesesakan di pejabat JPJ seluruh negara.

Langgan saluran Instagram kami untuk info dan berita terkini!
Kementerian Pengangkutan Malaysia (MoT) mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) supaya mengaktifkan semula perkhidmatan urusan Tukar Hak Milik (THM) kenderaan secara dalam talian berkuat kuasa serta-merta selepas sistem tersebut sebelum ini ditangguhkan bagi tujuan penambahbaikan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata keputusan itu dibuat selepas beliau mengadakan perbincangan bersama Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli susulan laporan media mengenai penangguhan sementara perkhidmatan berkenaan.
Menurut Anthony Loke, JPJ memaklumkan kepada kementerian bahawa terdapat beberapa kes penyalahgunaan dan penipuan melibatkan sistem pertukaran hak milik yang menyebabkan jabatan itu berdepan liabiliti tertentu dan memerlukan penambahbaikan segera dilakukan terhadap sistem sedia ada.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kerja-kerja penambahbaikan sistem tidak sepatutnya mengganggu urusan harian pengguna biasa atau menyebabkan kesesakan besar di pejabat JPJ.
“Saya telah menasihati JPJ supaya memastikan kerja-kerja penambahbaikan sistem tidak mengganggu urusan harian pengguna biasa dan tidak menyebabkan kesesakan besar di pejabat JPJ,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
“JPJ bersetuju untuk mengembalikan perkhidmatan dalam talian bagi urusan pertukaran hak milik berkuat kuasa serta-merta.”
Sebelum ini, JPJ mengumumkan penangguhan sementara semua urusan THM kenderaan secara online melibatkan semua saluran digital termasuk portal awam JPJ, kiosk serta platform rakan niaga rasmi seperti MyEG dan eAuto Sdn Bhd.
Langkah tersebut diambil selepas JPJ menerima beberapa aduan rasmi serta laporan media sosial berkaitan insiden pertukaran hak milik yang didakwa berlaku tanpa pengetahuan pemilik berdaftar.
Menurut JPJ, penangguhan sementara itu bertujuan memberi ruang kepada pihak jabatan melakukan semakan serta penambahbaikan terhadap sistem sedia ada bagi memastikan keselamatan dan integriti proses pertukaran hak milik terus terjamin.
Dengan arahan terbaru daripada MoT itu, urusan pertukaran hak milik secara dalam talian kini dijangka kembali beroperasi seperti biasa sambil kerja penambahbaikan sistem diteruskan secara dalaman oleh JPJ.



Facebook
Instagram
X (Twitter)
YouTube
LinkedIn
RSS