Dimensi yang padat, handling yang memberi keyakinan dan gaya yang klasik menjadikan Brixton BX150 R pilihan yang menarik, terutamanya untuk penunggang wanita.

Langgan saluran Instagram kami untuk info dan berita terkini!
Segmen 150cc merupakan salah satu kategori paling kompetitif di Malaysia, menawarkan pelbagai pilihan kepada penunggang, daripada motosikal komuter yang praktikal hingga motosikal sporty.
Walau bagaimanapun, terdapat permintaan yang semakin meningkat untuk motosikal yang bukan sahaja beri prestasi bagus, tetapi juga menawarkan gaya dan karakter yang unik.
Pada masa yang sama, lebih ramai rider wanita memasuki arena motosikal, mewujudkan permintaan untuk motosikal yang mudah didekati, mudah dikendalikan dan memberi keyakinan tanpa menjejaskan gaya.
Sebuah motosikal yang memasuki kategori ini dengan pendekatan berbeza ialah Brixton BX150 R. BX150 R telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada Jun 2018 oleh MForce Bike Holdings bersama-sama adik-beradiknya, BX150 dan BX150 X. Ia disasarkan untuk mereka yang mahukan motosikal yang menampilkan gaya klasik pada harga yang berpatutan.
Dimensinya yang padat, kuasa yang boleh diurus dan ergonomik yang selesa juga menjadikannya pilihan yang menarik untuk lebih ramai rider, termasuk rider wanita atau mereka yang mencari motosikal yang santai sambil menawarkan pelbagai personaliti.
Saya berpeluang untuk mencuba model Brixton BX150 R tahun 2024 bagi merasai sendiri prestasi motosikal ini dalam keadaan tunggangan sebenar dan juga pendapat peribadi saya untuk rider wanita mengenai motosikal ini.

Enjin & Transmisi
BX150 R dikuasakan oleh enjin 149cc air-cooled satu silinder yang menghasilkan 11.7 hp pada 8,000 rpm dan tork 11.9 Nm pada 6,000 rpm. Angka-angka ini mungkin kelihatan biasa, tapi ia tidak pernah direka untuk memberi tumpuan kepada prestasi. Sebaliknya, ia memberi tumpuan kepada penyampaian pengalaman menunggang yang santai dan menyeronokkan.
Kuasa disalurkan ke roda belakang melalui gearbox manual lima kelajuan yang dipadankan dengan wet multi-plate clutch. Klac terasa ringan dan mudah dikendalikan, menjadikan ride melalui trafik sesak satu pengalaman yang selesa. Engagement point klac juga seimbang, ia tak terlalu pendek atau terlalu panjang, yang membolehkan saya cepat membiasakan diri dengan tingkah laku motosikal ini. Saya percaya ini adalah sesuatu yang ramai rider beginner, termasuk rider wanita yang sedang belajar bawa motosikal manual akan hargai.
Penghantaran kuasa yang lancar merupakan satu lagi ciri yang saya rasa ramai rider baharu akan hargai. Daripada memberikan lonjakan kuasa yang mendadak, BX150 R meningkatkan kelajuan secara progresif, menjadikannya lebih mudah untuk dikawal. Ini memberikan lebih keyakinan kepada rider, terutamanya mereka yang masih membiasakan diri mengendalikan motosikal manual.
Secara keseluruhannya, enjin dan transmisi BX150 R sangat sesuai dengan karakter inspirasi retronya, mengutamakan kelancaran dan kemudahan menunggang berbanding prestasi sebenar. Sifatnya yang mesra pengguna menjadikannya motosikal yang boleh dinikmati oleh semua jenis rider, terutamanya mereka yang mencari jentera bergaya yang mudah digunakan setiap hari.

Reka Bentuk & Ciri-ciri
Brixton BX150 R mengambil pendekatan klasik dari segi reka bentuknya, menggabungkan elemen gaya retro dengan sentuhan moden. Ia menampilkan lampu depan bulat, lampu belakang bulat kecil dan seat retro ala Clubman yang serta-merta memberikan motosikal ini penampilan yang timeless.
Berbanding dengan adik-beradiknya, BX150 R membawakan watak yang lebih sporty. Tapi ia bukanlah penampilan sporty moden yang agresif seperti yang kita selalu lihat hari ini. Sebaliknya, ia mempunyai penampilan yang diinspirasi daripada perlumbaan klasik, serupa dengan motosikal dari masa lalu yang lebih memfokuskan pada gaya dan perwatakan.
Unit yang saya uji didatangkan dalam warna silver, yang saya rasa sangat sesuai dengan motosikal tersebut. Warnanya memberikan penampilan yang anggun dan elegan tanpa nampak terlalu menyerlah atau terlalu gelap, membolehkan elemen reka bentuk retro menonjol secara semula jadi.
Dari segi ciri-ciri, BX150 R dilengkapi dengan meter RRM analog klasik yang dipadankan dengan speedometer digital, menggabungkanrekaan old school dengan fungsi moden.
Motosikal ini juga menampilkan lampu LED, termasuk lampu hadapan dengan reka bentuk DRL berbentuk X. Detail kecil ini menambahkan lagi karakter pada motosikal ini dan mengingatkan saya pada motosikal lumba zaman dulu di mana akan ada corak “X” pada lampu hadapan motosikal.

Pengalaman Menunggang
Brixton BX150 R menawarkan pengalaman menunggang yang sepadan dengan karakter retronya, lebih memfokuskan pada keselesaan dan keseronokan berbanding prestasi sepenuhnya. Riding position terasa agak santai, dengan handle diletakkan dengan cara yang menggalakkan riding posture semula jadi.
Walau bagaimanapun, handle tak terasa terlalu tinggi. Ia diletakkan lebih rendah sikit, memberikan motosikal ini rasa sporty yang tak keterlaluan. Pada ketinggian 178 cm, saya rasa seperti saya bongkok ke hadapan sikit semasa menunggang, tetapi ia tidak pernah sampai ke tahap di mana ia menjadi tidak selesa atau menyebabkan belakang terasa letih. Saya juga dapat melihat riding position ini sangat baik untuk ramai rider wanita, kerana ia mencapai keseimbangan yang baik antara keselesaan dan kawalan.
Satu perkara yang benar-benar menarik perhatian saya ialah betapa mudahnya BX150 R terasa. Dimensinya yang padat dan beratnya yang agak ringan menjadikannya terasa kurang menakutkan berbanding kebanyakan motosikal retro yang lain.
Jadi ini pastinya salah satu sebab mengapa BX150 R boleh menjadi pilihan yang bagus untuk rider wanita yang ingin memiliki motosikal manual pertama mereka. Ia terasa mudah dikendalikan tanpa menjejaskan penampilan retronya yang bergaya.
Satu lagi kelebihannya ialah betapa mudahnya ia boleh dikendalikan. Disebabkan saiznya yang kecil dan rasa ringan, ia menyebabkan motosikal ini rasa sangat senang untuk dikendalikan. Sama ada membuat u-turn, meredah lalu lintas atau kawasan parking, semuanya mudah.
Rider wanita, terutamanya mereka yang berbadan lebih kecil, mungkin akan menghargai betapa mudahnya BX150 R terasa pada kelajuan rendah, manakala rider berpengalaman masih boleh menikmati handling yang lincah di sekitar bandar.
Di highway, BX150 R terus memberikan riding experience yang selesa. Walaupun ia tak dibina untuk prestasi berkelajuan tinggi, ia terasa stabil dan tenang semasa memecut. Kuasanya lebih daripada cukup untuk ride highway yang santai, menjadikannya motosikal yang menyeronokkan untuk perjalanan ulang-alik bandar dan perjalanan jarak jauh yang santai.
Sama ada anda rider berpengalaman atau rider wanita yang mencari motosikal retro yang mudah dipakai setiap hari, BX150 R menawarkan pengalaman yang memberi keyakinan dan menyeronokkan.

Pengendalian & Brek
BX150 R dilengkapi dengan fork hadapan teleskopik dan penyerap hentak belakang berkembar preload-adjustable, satu setup yang sangat sesuai dengan karakter retro motosikal ini. Sepanjang tempoh saya menggunakan motosikal ini, suspensinya terasa cukup selesa untuk perjalanan harian sambil tetap menawarkan kestabilan yang baik di jalan yang tidak rata dan di selekoh.
Digabungkan dengan saiznya yang kecil, motosikal ini tak pernah terasa menakutkan untuk dikendalikan, sesuatu yang saya fikir ramai rider wanita akan hargai ketika menunggang melalui jalan-jalan bandar yang sibuk.
Tugas brek dikendalikan oleh brek disk di bahagian hadapan dan belakang, dilengkapi dengan Combined Braking System (CBS). Prestasi brek terasa progresif dan boleh diramal, memberikan keyakinan yang cukup ketika memperlahan atau berhentikan motor. Walaupun ia tak mempunyai kuasa berhenti seperti motosikal berprestasi lebih besar, ia lebih daripada mencukupi untuk kegunaan sebenar BX150 R.
Suspensi yang boleh diramal dan brek progresif juga membantu membina keyakinan rider. Bagi mereka yang agak baharu dalam menunggang, termasuk rider wanita yang mencari motosikal manual pertama mereka, BX150 R terasa mudah dikawal dan bukannya membebankan.
Secara keseluruhan, pakej suspensi dan brek berfungsi dengan baik, menjadikan BX150 R motosikal yang mudah ditunggang. Sama ada anda ulang-alik melalui bandar atau menikmati perjalanan hujung minggu yang santai, motosikal ini terasa tenang, memberi keyakinan dan mudah dikawal.

Keputusan
Secara keseluruhannya, Brixton BX150 R merupakan motosikal untuk rider yang mengutamakan gaya, kesederhanaan dan pengalaman menunggang yang menyeronokkan berbanding prestasi sebenar. Dengan harga sekitar RM9,588 , reka bentuknya yang diinspirasikan oleh gaya retro memberikannya banyak karakter, manakala enjinnya yang boleh diurus, klac yang ringan dan pengendalian yang mudah menjadikannya motosikal yang mudah didekati oleh penunggang daripada semua peringkat pengalaman.
Saya juga percaya BX150 R merupakan pilihan yang sangat baik untuk rider wanita. Dimensinya yang padat, rasa ringan dan handling yang meyakinkan menjadikannya mudah untuk dikawal dalam situasi harian, sama ada ketika membelok, membuat U-turn atau sekadar menggerakkan motosikal di sekitar parking.
Padankan dengan design bergaya yang diinspirasikan oleh café racer, ia menawarkan gabungan praktikaliti dan personaliti yang mungkin dihargai oleh ramai rider wanita. Daripada cuba menjadi motosikal terpantas dalam kelasnya, BX150 R memberi tumpuan kepada penyampaian pengalaman menunggang yang santai, memberi keyakinan dan menyeronokkan.
Bagi rider wanita yang ingin memiliki motosikal manual pertama mereka, atau rider berpengalaman yang mahukan jentera retro bergaya yang mudah digunakan setiap hari, Brixton BX150 R pastinya merupakan motosikal yang patut dipertimbangkan.
Spesifikasi Brixton BX150 R 2024
Enjin & Prestasi
- Enjin: 149 cc air-cooled, 4-stroke, single-cylinder
- Kuasa Maksimum: 11.7 hp pada 8,000 rpm
- Tork Maksimum: Tork 11.9 Nm pada 6,000 rpm
- Transmisi: 5-kelajuan
- Klac: Wet, multi-plate clutch
Casis & Suspensi
- Rangka: Steel tube (tubular steel) frame
- Suspensi Depan: Fork hadapan teleskopik
- Suspensi Belakang: Penyerap hentak belakang berkembar preload-adjustable
- Brek Depan: Brek Disc dengan ABS
- Brek Belakang: Brek Disc dengan ABS
- Tayar: 4.00-17 (depan), 4.50-17 (belakang)
Dimensi & Elektronik
- Berat Basah: 157 kg
- Tinggi Seat: 770 mm
- Kapasiti Tangki Minyak: 14 Liter
- Elektronik: Lampu Depan LED dengan Lampu Nyalaan Siang (DRL), meter analog dan digital, Combined Braking System (CBS)




Facebook
Instagram
X (Twitter)
YouTube
LinkedIn
RSS