Salah satu pencabar yang kuat dalam segmen skuter maxi 250 cc yang lengkap dengan teknologi terkini pada harga yang berpatutan.

Langgan saluran Instagram kami untuk info dan berita terkini!
Motor skuter di Malaysia memang sedang rancak sekarang. Hampir setiap bulan, akan ada model baharu dilancarkan, dengan setiap pengeluar berlumba-lumba menawarkan skuter harian terbaik untuk menarik perhatian penunggang tempatan.
Salah satu model yang paling mencuri perhatian ialah Aveta Vanguard 250 SE, atau lebih dikenali sebagai “V2” dalam kalangan peminatnya. Versi terkini ini hadir dengan 10 penambahbaikan baharu dan dipasarkan sebagai skuter Adventure Touring Crossover (ATC), iaitu gabungan karakter lasak sebuah motosikal adventure dengan keselesaan sebuah skuter maxi untuk perjalanan jauh.
Apa yang menarik, model ini bukan sekadar naik taraf biasa. Aveta mengambil maklum balas daripada komuniti pemilik, sesi ride, perjumpaan pengguna dan juga rangkaian pengedar sebelum memperkenalkan versi baharu ini. Pendek kata, banyak penambahbaikan yang dibuat sebenarnya datang daripada pengalaman sebenar penunggang Vanguard sendiri.
Pertama kali diperkenalkan ke pasaran Malaysia pada tahun 2025, Vanguard 250 terus menjadi pencabar kepada antara skuter 250cc paling popular di negara ini iaitu Yamaha XMAX. Ramai yang gemar membandingkan kedua-duanya, malah ada juga yang mengatakan Vanguard sekadar meniru XMAX. Bagi saya, tanggapan itu kurang tepat kerana Vanguard 250 mempunyai identiti dan karakter tersendiri yang cukup berbeza daripada pesaingnya.
Saya berpeluang menggunakan Aveta Vanguard 250 SE selama hampir seminggu sebagai motosikal harian untuk tujuan review ini. Selepas menggunakannya di bandar, lebuh raya dan pelbagai keadaan jalan, saya boleh katakan skuter ini memang mempunyai pakej yang cukup lengkap untuk bersaing dengan jenama-jenama yang lebih terkenal.
Mungkin masih ada yang skeptikal dengan jenama Aveta, tetapi berdasarkan pengalaman sendiri, Vanguard 250 SE sebenarnya menawarkan lebih daripada apa yang saya jangkakan.

Reka Bentuk Keseluruhan
Perkara pertama yang pasti menarik perhatian pada Aveta Vanguard 250 SE ialah reka bentuknya yang garang. Berbanding kebanyakan skuter maxi lain yang tampil dengan bentuk lebih lembut dan membulat, Vanguard 250 memilih identiti yang lebih agresif. Hampir setiap sudut badannya dipenuhi garisan tajam dan kemasan bersudut, menjadikan keseluruhan skuter ini nampak moden, sporty dan lebih berkarakter.
Bagi saya, bahagian hadapannya memang antara yang paling menarik. Rekaan lampu hadapan yang tajam memberi rupa seakan-akan “mata” yang garang, dipadankan pula dengan fairing hadapan yang kemas dan berotot. Dari depan, skuter ini nampak lebih mahal daripada harga sebenarnya dan memang mempunyai aura tersendiri apabila berada di atas jalan.
Sejujurnya, pada mulanya saya kurang menggemari rekaan bahagian belakang Vanguard 250. Berbanding bahagian depan yang garang, ekornya nampak sedikit pelik. Namun selepas beberapa hari menggunakannya, saya mula menyukai reka bentuk itu kerana ia memberikan identiti yang unik dan membezakan Vanguard 250 daripada skuter maxi lain di pasaran.
Unit yang saya uji hadir dengan warna Nano Green. Pada pandangan pertama, warnanya nampak biasa, tetapi apabila dilihat di bawah cahaya matahari, ia sebenarnya cukup menarik. Padanan warna ini menyerlahkan lagi rekaan badan yang agresif tanpa nampak keterlaluan. Sama ada diparkir atau ditunggang di jalan raya, memang mudah menarik perhatian.

Enjin dan Transmisi
Dari segi kuasa, Aveta Vanguard 250 SE menggunakan enjin satu silinder 244.2cc SOHC dengan sistem penyejukan cecair, kepala silinder empat injap serta suntikan bahan api elektronik Bosch. Enjin ini mampu menghasilkan sekitar 24.8 hp pada 8,500 rpm dan 22.5 Nm tork pada 6,500 rpm. Mungkin angka ini tidaklah paling tinggi dalam kelas 250cc, tetapi bagi sebuah skuter yang dibina untuk kegunaan harian dan touring, prestasinya memang lebih daripada mencukupi.
Apa yang paling saya suka ialah power delivery skuter ini. Tarikan pendikit terasa lancar dan tidak mengejutkan, manakala tork pula datang agak awal. Jadi apabila bergerak dari lampu isyarat atau ingin memotong kenderaan di hadapan, skuter ini memberikan respon yang cukup baik tanpa perlu memulas pendikit terlalu banyak.
Sudah tentu ia bukan skuter yang dibina untuk pecutan agresif seperti motosikal sport, tetapi itu memang bukan matlamat Vanguard 250 SE. Sebaliknya, ia lebih memberi keutamaan kepada tunggangan yang selesa, lancar dan mudah dikawal, sama ada ketika berulang-alik ke tempat kerja ataupun menempuh perjalanan jauh di lebuh raya.
Kuasa disalurkan ke roda belakang melalui transmisi automatik CVT bersama sistem pacuan tali sawat. Seperti kebanyakan skuter moden, anda hanya perlu pulas pendikit dan terus bergerak. Sistem CVT ini berfungsi dengan baik dalam memastikan penghantaran kuasa sentiasa lancar tanpa rasa tersentak, sekaligus menjadikan pengalaman menunggang lebih santai dan bebas tekanan.
Sepanjang saya menggunakannya, enjin ini terasa cukup seimbang. Ia bukan yang paling pantas dalam kelasnya, tetapi cukup responsif untuk kegunaan harian dan masih mempunyai kuasa yang mencukupi apabila dibawa keluar ke lebuh raya. Bagi mereka yang mencari sebuah skuter maxi yang praktikal, mudah ditunggang dan selesa digunakan setiap hari, prestasi enjin Vanguard 250 SE memang menepati apa yang dijanjikan.

Pengalaman Menunggang
Perkara pertama yang saya perasan sebaik sahaja mula menunggang Aveta Vanguard 250 SE ialah tahap kestabilannya. Sama ada menunggang santai dalam bandar, meredah kesesakan lalu lintas atau memecut di lebuh raya, skuter ini sentiasa terasa stabil dan meyakinkan. Walaupun ia bersaiz agak besar dan dipasarkan sebagai skuter Adventure Touring Crossover (ATC), ia langsung tidak terasa kekok ketika ditunggang.
Memang benar, apabila menolak skuter ini di tempat parkir atau mengalihkannya secara manual, anda akan terasa berat badannya. Namun sebaik sahaja roda mula bergerak, segala rasa berat itu seolah-olah hilang. Malah saya agak terkejut dengan betapa mudahnya Vanguard 250 SE dikendalikan dalam trafik harian di Malaysia.
Mencelah di antara kereta ketika waktu puncak juga tidak menjadi masalah. Handling ringan, keseimbangannya bagus dan saiz badannya tidak membuatkan saya berasa kekok walaupun ketika melalui ruang yang agak sempit. Selepas beberapa hari menggunakannya, saya mula rasa skuter ini sebenarnya lebih mudah dikendalikan daripada apa yang saya jangkakan.
Satu perkara yang saya suka ialah keselesaan tempat duduknya. Tempat duduknya lebar, empuk dan memberikan sokongan yang baik, terutama ketika menunggang dalam tempoh yang lama. Saya boleh menghabiskan beberapa jam di atas lebuh raya tanpa rasa cepat letih. Namun begitu, disebabkan reka bentuk tempat duduk yang agak lebar, ia sedikit menyukarkan saya untuk menapak penuh ketika berhenti. Dengan ketinggian sekitar 178 cm, saya masih boleh mengawalnya dengan baik, tetapi penunggang yang lebih rendah mungkin perlu sedikit menyesuaikan diri.
Kalau ada satu perkara yang saya rasa Aveta boleh perbaiki, ia adalah windshield. Saya memang suka kerana ia boleh dilaraskan secara elektronik hanya menggunakan butang, sesuatu yang jarang ditawarkan dalam kelas harga ini. Tetapi walaupun pada kedudukan paling tinggi, saya masih merasakan aliran angin mengenai bahagian topi keledar ketika menunggang di lebuh raya. Perlindungan pada bahagian dada memang baik, cuma saya berharap cermin tersebut sedikit lebih tinggi supaya tunggangan jarak jauh menjadi lebih selesa.
Dari segi prestasi di lebuh raya pula, Vanguard 250 SE memang cukup stabil. Ketika kelajuan mula menghampiri sekitar 140 km/j, saya hanya menyedari sedikit getaran halus pada bahagian pendikit. Ia bukan sesuatu yang mengganggu atau membuatkan skuter terasa tidak stabil, tetapi masih boleh dirasai. Kebanyakan penunggang mungkin tidak akan menghadapinya kerana bukan semua orang menunggang pada kelajuan sebegitu dalam tempoh yang lama, namun ia tetap satu perkara yang wajar disebut.
Secara keseluruhannya, pengalaman menunggang Aveta Vanguard 250 SE memang memberikan keyakinan. Ia selesa, stabil dan cukup mudah dikendalikan dalam pelbagai keadaan jalan. Sama ada untuk ulang-alik ke tempat kerja, meredah kesesakan bandar atau keluar mengembara pada hujung minggu, skuter ini memberikan keseimbangan yang baik antara keselesaan, praktikaliti dan prestasi.

Pengendalian dan Brek
Dari segi pengendalian, Aveta Vanguard 250 SE memang memberi satu kejutan yang positif. Walaupun ia sebuah skuter maxi yang agak besar, ia langsung tidak terasa berat apabila mula bergerak. Casisnya seimbang dan mudah dikawal, membuatkan saya lebih yakin setiap kali mengambil selekoh sama ada di jalan bandar, lebuh raya mahupun jalan berbukit.
Sistem suspensinya menggunakan fork teleskopik 37 mm di hadapan dan penyerap hentak berkembar dengan takungan gas di belakang. Sepanjang tempoh ujian, suspensinya memberikan keseimbangan yang baik antara keselesaan dan kestabilan. Jalan berlubang, bonggol atau permukaan yang kurang rata masih dapat diserap dengan baik tanpa membuatkan tunggangan terasa terlalu keras.
Saya juga cukup kagum dengan cara Vanguard 250 SE melayan selekoh. Walaupun dimensinya lebih besar berbanding kebanyakan skuter 250cc lain, ia masih mudah dicondongkan dan kekal stabil sepanjang selekoh. Dipadankan dengan roda hadapan 15 inci dan roda belakang 14 inci bersama tayar bersaiz 120/70 serta 140/70, cengkamannya memang meyakinkan sama ada di jalan kering mahupun ketika hujan.
Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) pula berfungsi dengan baik tanpa terlalu mengganggu pengalaman tunggangan. Ketika melalui jalan yang sedikit licin atau berpasir, sistem ini bekerja secara automatik untuk memastikan tayar belakang terus mencengkam permukaan jalan. Kebanyakan masa kita mungkin tidak sedar ia sedang berfungsi, tetapi apabila diperlukan, ia benar-benar memberikan keyakinan tambahan.
Prestasi breknya juga patut dipuji. Vanguard 250 SE menggunakan cakera brek 260 mm di hadapan dan belakang, dipadankan dengan angkup empat piston di hadapan serta dua piston di belakang. Kuasa membrek terasa kuat dan progresif, menjadikannya mudah dikawal sama ada ketika membrek di lebuh raya atau dalam situasi kecemasan di kawasan bandar. ABS dwi-saluran pula berfungsi dengan baik tanpa terlalu agresif, sekali gus menambahkan lagi keyakinan ketika membrek di jalan basah atau permukaan yang kurang sempurna.
Secara keseluruhannya, Aveta berjaya menghasilkan sebuah skuter yang bukan sahaja selesa untuk perjalanan jauh, malah cukup menyeronokkan apabila dibawa melalui jalan berselekoh. Ia stabil, mudah dikendalikan dan mempunyai pakej brek serta ciri keselamatan yang lengkap, menjadikannya teman yang sesuai untuk kegunaan harian mahupun perjalanan hujung minggu.

Ciri-ciri
Satu perkara yang benar-benar membuatkan Aveta Vanguard 250 SE menonjol ialah senarai ciri yang ditawarkan. Untuk sebuah skuter dalam kelas 250cc, Aveta boleh dikatakan tidak kedekut dalam melengkapkan model ini dengan pelbagai teknologi moden yang biasanya hanya ditemui pada skuter yang lebih mahal.
Varian SE hadir dengan pelbagai kelengkapan premium seperti ABS dwi-saluran, Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) dan juga kamera papan pemuka hadapan (DVR) yang dipasang siap dari kilang.
Bagi saya, ini bukan sekadar gimik pemasaran kerana semuanya memang berguna untuk tunggangan harian. TPMS misalnya membolehkan saya sentiasa memantau tekanan angin tayar tanpa perlu berhenti memeriksanya secara manual, manakala DVR memberikan sedikit ketenangan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini ketika berada di atas jalan.
Di bahagian kokpit pula, Vanguard 250 SE menggunakan skrin TFT LCD bersaiz 7 inci yang kelihatan moden dan premium. Paparan ini jelas dibaca walaupun di bawah cahaya matahari dan memaparkan semua maklumat penting dengan kemas. Lebih menarik, ia turut menyokong sambungan telefon pintar menerusi aplikasi Aveta, membolehkan beberapa fungsi tambahan diakses terus melalui paparan tersebut.
Dari segi praktikaliti, saya memang tiada banyak perkara untuk dipersoalkan. Ruang simpanan bawah tempat duduk berkapasiti 23.5 liter memang cukup besar untuk kegunaan harian. Topi keledar KYT TT-Course jenis full face yang saya gunakan boleh dimuatkan tanpa sebarang masalah. Malah ketika singgah membeli barang di kedai serbaneka, satu beg plastik berisi barangan juga masih boleh dimasukkan ke dalam ruang simpanan tersebut. Bagi saya, inilah antara kelebihan memiliki skuter maxi kerana anda tidak perlu lagi membawa beg galas setiap kali keluar menunggang.
Selain itu, terdapat juga dua ruang simpanan di bahagian hadapan yang sangat praktikal. Saya sering menggunakannya untuk menyimpan telefon, dompet, kad Touch ‘n Go atau barangan kecil lain yang mudah dicapai ketika berhenti di lampu isyarat atau stesen minyak. Aveta turut melengkapkan Vanguard 250 SE dengan port pengecas USB, satu ciri yang kini hampir menjadi keperluan wajib bagi kebanyakan penunggang. Sekurang-kurangnya telefon sentiasa mempunyai bateri yang mencukupi ketika menggunakan aplikasi navigasi atau ketika melakukan perjalanan jauh.
Jadi, pakej yang ditawarkan pada Vanguard 250 SE memang lengkap. Ia bukan sahaja menawarkan ciri keselamatan yang baik, malah turut memberikan pelbagai kemudahan yang benar-benar memudahkan kehidupan penunggang setiap hari. Dengan harga yang ditawarkan, sukar untuk menafikan bahawa Aveta telah memberikan nilai yang cukup tinggi melalui skuter ini.

Kesimpulan
Selepas menggunakan Aveta Vanguard 250 SE selama beberapa hari, saya boleh katakan skuter ini benar-benar memberikan pakej yang lengkap dalam kelas 250cc. Ia bukan sahaja selesa digunakan untuk ulang-alik harian, malah cukup stabil dan meyakinkan apabila dibawa keluar ke lebuh raya atau jalan berbukit. Dari segi prestasi, pengendalian, ciri keselamatan hinggalah kepada aspek praktikaliti, semuanya berada pada tahap yang memuaskan.
Dengan harga sekitar RM16,688, Vanguard 250 SE menawarkan nilai yang cukup berbaloi. Sukar untuk mencari sebuah skuter yang hadir dengan pakej seperti skrin TFT 7 inci, TPMS, Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), ABS dwi-saluran, kamera papan pemuka (DVR) serta pelbagai ciri moden lain pada julat harga yang sama.
Apa yang lebih menarik, Aveta bukan sekadar menghasilkan model baharu, malah benar-benar mengambil kira maklum balas pengguna. Banyak penambahbaikan pada Vanguard 250 SE ini dibuat hasil daripada pengalaman pemilik sendiri melalui sesi tunggangan komuniti, perjumpaan pemilik serta pandangan daripada rangkaian pengedar. Pendekatan ini jelas menunjukkan Aveta serius dalam membangunkan produk yang benar-benar memenuhi keperluan penunggang.
Sudah tentu masih ada beberapa perkara yang boleh dipertingkatkan seperti cermin angin yang saya rasakan boleh dibuat sedikit lebih tinggi untuk memberikan perlindungan angin yang lebih baik ketika menunggang di lebuh raya. Namun, itu hanyalah kekurangan kecil jika dibandingkan dengan keseluruhan pakej yang ditawarkan.
Jika anda sedang mencari sebuah skuter maxi 250cc yang lengkap, selesa, moden dan menawarkan nilai yang tinggi pada harga yang kompetitif, Aveta Vanguard 250 SE sememangnya wajar berada dalam senarai pilihan anda. Ia mungkin masih baharu berbanding beberapa pesaingnya, tetapi selepas mencubanya sendiri, saya yakin skuter ini mempunyai pakej yang mampu memberi saingan dalam segmen skuter maxi di Malaysia.
Spesifikasi Aveta Vanguard 250 SE
Enjin & Prestasi
- Enjin: 244.2cc, 4-lejang, 4-injap, sejukan cecair, SOHC
- Kuasa Maksimum: 24.8 hp pada 8,500 rpm
- Tork Maksimum: 22.5 Nm pada 6,500 rpm
- Transmisi: CVT Automatik dengan Pacuan Tali Sawat
Casis & Suspensi
- Suspensi Depan: Fork Teleskopik Hidraulik
- Suspensi Belakang: Penyerap Hentakan Berkembar Mendatar
- Brek Depan: Cakera dengan angkup terapung 4-piston lawan
- Brek Belakang: Cakera dengan angkup terapung 2-piston
- Tayar: 120/70-ZR15 (depan), 140/70-ZR14 (belakang)
Dimensi & Elektronik
- Berat Basah: 177 kg
- Tinggi Tempat Duduk: 780 mm
- Kapasiti Bahan Api: 13 Liter
- Elektronik: ABS dua saluran, Kawalan Cengkaman, unit TFT-LCD 7 inci dengan pencerminan telefon pintar, Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS), perakam DVR hadapan



Facebook
Instagram
X (Twitter)
YouTube
LinkedIn
RSS