Selepas meraih keputusan terbaik di GP Malaysia dengan menamatkan perlumbaan di tempat keempat, Hakim Danish Ramli kini memburu satu lagi keputusan positif di Litar Antarabangsa Lusail.

Langgan saluran Instagram kami untuk info dan berita terkini!
Hakim Danish Ramli membawa keyakinan tinggi menjelang Grand Prix (GP) Qatar hujung minggu ini selepas mempamerkan aksi memberangsangkan pada GP Malaysia di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang. Pelumba negara itu berjaya menamatkan perlumbaan di tempat keempat, sekali gus memberikan suntikan semangat untuk meneruskan cabaran dalam Kejuaraan Dunia Moto3.
ZK Racing optimis prestasi cemerlang yang dipamerkan di Sepang mampu diteruskan di Litar Antarabangsa Lusail, sebuah litar yang bukan asing buat pelumba kelahiran Terengganu itu.
Hakim Danish pernah berlumba di Litar Lusail selama dua musim menerusi saingan Asia Talent Cup. Pengalaman tersebut diyakini mampu membantunya menyesuaikan diri dengan lebih cepat, terutama dalam memahami karakter litar yang terkenal dengan selekoh-selekoh berkelajuan tinggi.
Menurut Danish, corak litar di Qatar sangat sesuai dengan gaya tunggangannya kerana beliau lebih gemar litar yang mempunyai selekoh pantas berbanding selekoh jenis stop-and-go.
“Sasaran saya untuk GP Qatar adalah mengulangi pendekatan yang sama seperti di GP Malaysia. Pada hari pertama, saya mahu mendapatkan rentak dengan cepat dan cuba kekal tenang dalam apa jua keadaan.
“Saya rasa GP Malaysia memberikan banyak perkembangan positif kepada saya. Saya sudah mendapat perasaan yang lebih baik dan mampu bersaing dalam kelompok hadapan. Jadi, saya berharap dapat mengekalkan perasaan dan prestasi yang sama di Qatar nanti.
“Saya pernah berlumba di Qatar menerusi Asia Talent Cup selama dua tahun. Kali terakhir saya beraksi di sana adalah pada 2022. Bagi saya, keistimewaan Litar Qatar ialah selekoh berkelajuan tinggi. Ia tidak mempunyai banyak selekoh jenis stop-and-go dan saya memang gemar selekoh yang laju,” kata Hakim Danish.
Bagi menghadapi GP Qatar, Hakim Danish akan menggunakan pendekatan yang sama seperti di Sepang. Fokus utama adalah mendapatkan rentak seawal sesi latihan bebas sebelum mengekalkan ketenangan sepanjang hujung minggu perlumbaan.
Dari sudut teknikal, pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi tidak melakukan perubahan besar terhadap jentera. Sebaliknya, mereka hanya akan memberi tumpuan kepada penambahbaikan tetapan motosikal bagi memastikan prestasi yang lebih optimum di Lusail.

Pengurus pasukan, Zulfahmi Khairuddin, percaya Hakim Danish mempunyai kemampuan untuk sekali lagi bersaing bersama kelompok hadapan jika berjaya memulakan hujung minggu perlumbaan dengan baik.
Beliau menegaskan bahawa setiap sesi, khususnya latihan bebas dan kelayakan, memainkan peranan penting dalam menentukan peluang mendapatkan keputusan yang cemerlang.
“Saya berharap Danish dapat memberikan aksi terbaik di Qatar. Kita tahu potensi yang dimiliki Hakim Danish dan buat masa ini, kita mahu memberikan tumpuan kepada satu perlumbaan demi satu perlumbaan.
“Hakim Danish pernah bersaing di Qatar sebelum ini dan kita berharap dia dapat mengulangi prestasi seperti yang ditampilkan di Sepang apabila beraksi di sana nanti.
“Apa yang penting, dia perlu memulakan minggu perlumbaan dengan baik seawal sesi latihan pada Jumaat. Kita harap dia dapat mencari rentak dengan cepat dan mengekalkan prestasi positif sepanjang GP Qatar. Perkara paling utama ada pada sesi kelayakan dan saya harap Danish tampil cemerlang untuk memburu petak terbaik,” katanya.
Selepas 19 pusingan, Hakim Danish kini menghuni kedudukan kesembilan keseluruhan Kejuaraan Dunia Moto3 dengan 116 mata.
Beliau hanya dipisahkan lima mata daripada Valentin Perrone yang berada di tangga kelapan dengan 121 mata. Ini menjadikan GP Qatar sebagai peluang terbaik buat pelumba negara itu untuk memperbaiki kedudukannya dalam carta keseluruhan.
Sementara itu, pelumba Sepanyol Maximo Quiles terus mendahului kejuaraan dengan 376 mata, diikuti David Almansa dengan 228 mata. Brian Uriarte dan Alvaro Carpe pula berkongsi 205 mata.
Dengan prestasi yang semakin meningkat dan keyakinan hasil keputusan memberangsangkan di Sepang, GP Qatar dilihat sebagai medan terbaik untuk Hakim Danish meneruskan rentak positifnya.
Sekiranya beliau berjaya memanfaatkan pengalaman di Lusail serta mengekalkan konsistensi sepanjang hujung minggu perlumbaan, peluang untuk mengutip mata berharga dan melonjakkan kedudukan dalam kejuaraan sememangnya terbuka luas.




Facebook
Instagram
X (Twitter)
YouTube
LinkedIn
RSS