Berkongsi enjin parallel-twin yang sama seperti YZF-R25, Yamaha MT-25 menggabungkan keselesaan harian, handling sporty dan prestasi mesra beginner dalam satu pakej yang serba lengkap.

Langgan saluran Instagram kami untuk info dan berita terkini!
Motosikal naked sentiasa menjadi pilihan utama bagi mereka yang inginkan prestasi sportbike tetapi merasakan ergonomiknya terlalu agresif untuk citarasa mereka atau untuk bentuk badan mereka. Kebanyakan masa, rider akan mendapati bahawa motosikal naked adalah pilihan yang lebih munasabah, terutamanya jika mereka bercadang untuk menggunakan motosikal sebagai pengangkutan harian. Orang yang tinggi juga akan mendapati bahawa motosikal naked adalah pilihan yang lebih selamat kerana ia akan mengurangkan risiko berhadapan dengan sakit pergelangan tangan dan belakang setiap kali mereka keluar ride.
Terdapat banyak motosikal naked yang kini berada di pasaran hari ini, bermula dari sekecil 150cc hingga 1000cc, atau lebih. Salah satu motosikal naked paling terkenal yang telah mencipta nama dalam arena motosikal naked ialah Yamaha MT-25. Ia diletakkan di antara MT-15 yang lebih kecil dan MT-07 yang cukup bertenaga.
Pertama kali diperkenalkan pada Jun 2015 di Indonesia, MT-25 dibina di bawah konsep “Street Cheetah”, mengambil YZF-R25 dan menanggalkan full fairingnya untuk mewujudkan riding position yang lebih tegak yang akan menjadikannya tangkas untuk ride di dalam bandar. Ia kemudiannya mendapat pengubahsuaian yang agresif pada tahun 2020 dengan menggunakan aesthetic “Dark Side of Japan” yang tersendiri seperti yang dilihat pada adik-beradik MT yang lebih besar, serta membuat penampilan sulungnya di pasaran Malaysia.
Bagi rider muda, mereka mungkin tak begitu berminat dengan motosikal ini kerana ia tak mempunyai gaya agresif atau sporty yang diidamkan oleh anak muda pada masa kini. Mereka mungkin anggap bahawa motosikal ini dikaitkan dengan demografi yang lebih tua dan mereka tak akan dapat merasai keterujaan dengan motosikal ini.
Walau bagaimanapun, kita tak boleh menghakimi dari segi penampilan sahaja. Secara peribadi, saya rasa motosikal ini mampu memberikan keterujaan yang sama seperti yang anda boleh perolehi daripada sportbike, cuma dalam pakej yang lebih menegak dan selesa, dan itulah yang kebanyakan orang terlepas pandang.

Enjin dan Transmisi
MT-25 dikuasakan oleh enjin 249cc liquid-cooled parallel-twin yang menghasilkan sekitar 35.5 hp pada 12,000 rpm dan 22.6 Nm tork pada 10,000 rpm. Berkongsi enjin yang sama seperti YZF-R25, MT-25 memberikan riding experience yang menarik, cuma dengan riding position yang lebih tegak dan selesa.
Apa yang paling saya sukai tentang MT-25 ialah power deilvery motosikal ini. Ia tak membuatkan anda mahu memegang handlebar dalam ketakutan. Sebaliknya, kuasanya bertambah secara beransur-ansur dan lancar, membolehkan anda membiasakan diri dengan perwatakan motosikal ini tanpa rasa menakutkan.
Saya dapat memahami dengan mudah mengapa motosikal ini sering disyorkan kepada rider yang mahu upgrade daripada motosikal berkapasiti lebih kecil ataupun beginner riders, kerana ia mencapai keseimbangan yang baik antara memberikan keterujaan dan juga keyakinan.
Apabila RPM mula meningkat, enjin mula menunjukkan sisi agresifnya. Ia terasa bersemangat untuk memecut, memberi anda pecutan yang lebih kuat pada RPM yang lebih tinggi sambil kekal lancar dan boleh diramal sepanjang masa. Prestasinya sangat serupa dengan YZF-R25, jadi anda masih mendapat karakter sporty dan pecutan yang menyeronokkan, hanya dengan keselesaan tambahan ergonomik motosikal naked.
Kuasa dihantar melalui gearbox six-speed yang digandingkan dengan wet multi-disc clutch. Penukaran gear terasa lancar, manakala clutch itu sendiri terasa cukup ringan sehingga menunggang dalam kesesakan lalu lintas tak pernah rasa meletihkan. Digabungkan dengan penyampaian kuasa enjin yang diperhalusi, MT-25 terasa cukup selesa sama ada ketika melalui jalan bandar atau ketika memecut di atas highway.

Reka Bentuk & Ciri-ciri
Yamaha MT-25 mempunyai reka bentuk yang sama seperti model-model MT yang lain, menggabungkan gaya agresif dengan penampilan yang bersih dan sederhana. Walaupun ia tak terlalu menyerlah, orang pasti dapat kenal bahawa motosikal ini ialah sebuah MT. Bahagian belakangnya memang kelihatan seperti sudah biasa dilihat kerana ia berkongsi bahagian belakang yang sama dengan YZF-R25, manakala bahagian hadapannya menggunakan gaya MT khas Yamaha yang telah menjadi sinonim dengan barisan motosikal naked jenama itu.
Salah satu tarikan utama bahagian hadapannya ialah Lampu Nyalaan Siang (DRL) LED. Ia memberikan motosikal ini ekspresi tajam yang culup agresif, melengkapi wataknya yang diinspirasikan oleh gaya streetfighter.
Digabungkan dengan tangki minyak yang besar dan berbentuk, MT-25 mempunyai bentuk berotot yang menjadikannya tak kelihatan seperti motosikal 250cc. Secara peribadi, saya rasa Yamaha telah melakukan tugas yang hebat dalam memberikan motosikal ini penampilan visual yang mencukupi tanpa menjadikannya kelihatan terlalu rumit.
Di hadapan rider terdapat panel instrumen LCD digital. Ia mungkin tak berteknologi tinggi seperti paparan TFT yang terdapat pada kebanyakan motosikal baharu di pasaran, tetapi ia tetap mudah untuk dibaca. Walaupun pada siang hari, paparannya tetap jelas, dan pada waktu malam, semua maklumat disusun dalam susun atur yang jelas dan mudah dibaca.
Apabila bercakap tentang rider aids, MT-25 mengekalkan sifat minimalistnya. Ia dilengkapi dengan dual-channel ABS, sebuah ciri yang sangat berguna, terutamanya untuk rider baharu atau mereka yang kerap ride dalam cuaca yang tak menentu. Ia mungkin tak mempunyai senarai rider aids yang panjang, tetapi untuk motosikal dalam segmen ini, saya rasa Yamaha telah memasukkan ciri-ciri yang paling penting, dan bukan ciri-ciri yang mungkin tak diperlukan pada setiap masa.

Pengalaman Menunggang
Perkara pertama yang saya dapati selepas menaiki Yamaha MT-25 ialah ia terasa lebih berat sedikit daripada yang saya jangkakan. Saya juga telah bertanya kepada beberapa rakan yang turut menunggang motosikal ini, mereka berkongsi pendapat yang sama. Berbanding dengan beberapa motosikal lain dalam segmen motosikal naked 250cc, MT-25 memang mempunyai rasa yang lebih berat sedikit, terutamanya pada kelajuan rendah.
Disebabkan itu, saya tak terasa yakin serta-merta apabila melakukan sebarang gerakan kelajuan rendah. Sama ada membuat U-turn atau menunggang di sekitar kawasan parking yang sempit, saya mendapati diri saya lebih berhati-hati.
Walau bagaimanapun, perasaan tersebut tak kekal lama. Lebih banyak masa saya luangkan dengan motosikal ini, lebih saya faham bagaimana ia berfungsi, dan tak lama kemudian, saya dapat menambahkna keyakinan saya. Ia hanyalah soal membiasakan diri dengan perwatakan motosikal ini.
Menunggang di sekitar bandar secara amnya merupakan pengalaman yang menyeronokkan, walaupun saya perasan satu kelemahan kecil. Cermin sisi standard motosikal ini agak capang, jadi mencelah lalu lintas kadangkala agak sukar, terutamanya apabila ingin mencelah di ruang yang sempit.
Terdapat beberapa ketika di mana saya betul-betul fokus untuk mengelakkan daripada melanggar cermin sisi kereta. Secara peribadi, saya fikir satu set cermin sisi aftermarket akan menyelesaikan masalah ini dengan mudah tanpa menjejaskan praktikaliti keseluruhan motosikal ini.
Walau bagaimanapun, di atas highway, MT-25 benar-benar mula menyerlah. Enjin parallel-twin yang digunakan terasa lancar dan halus, manakala riding position tegak menjadikan perjalanan yang jauh terasa lebih selesa berbanding sportbike full-fairing.
Sudah tentu, sebagai motosikal naked, anda akan merasakan angin mula menolak anda sebaik sahaja kelajuan meningkat. Tetapi itu sememangnya lumrah apabila memiliki motosikal naked, dan ia adalah sesuatu yang saya biasakan selepas menghabiskan lebih banyak masa di atas jalan.
Secara keseluruhannya, MT-25 merupakan sebuah motosikal yang memerlukan sedikit masa untuk difahami. Ia terasa sedikit menakutkan pada mulanya, tetapi lama-kelamaan, keyakinan saya bertambah dengan cepat. Sebaik sahaja saya dapat menyesuaikan diri dengan berat dan pengendaliannya, motosikal ini menjadi sangat memuaskan untuk ditunggang, menjadikannya sangat menyeronokkan untuk ride ulang-alik harian atau hujung minggu.

Pengendalian & Brek
Yamaha MT-25 dilengkapi dengan setup suspensi yang sangat sesuai untuk ride harian dan ride hujung minggu. Di bahagian hadapan, ia menampilkan fork upside-down (USD), manakala bahagian belakang disokong oleh monoshock preload-adjustable.
Sepanjang saya menggunakan motosikal ini, suspensinya mencapai keseimbangan yang baik antara keselesaan dan gaya sporty. Ia mampu menyerap sebarang ketidaksempurnaan di jalan raya, namun cukup teguh untuk memastikan motosikal terasa tenang apabila menunggang dengan laju.
Satu aspek yang benar-benar mengejutkan saya ialah betapa menyeronokkannya MT-25 semasa melalui selekoh. Casisnya terasa seimbang, dan ia membolehkan saya memasuki corner dengan lebih yakin. Sama ada selekoh yang panjang atau selekoh yang lebih tajam, suspensinya memberikan sokongan dan maklum balas yang mencukupi, menjadikan setiap selekoh satu pengalaman yang memuaskan.
Tugas brek dikendalikan oleh disc hidraulik hadapan 298 mm yang dipasangkan dengan two-piston caliper, manakala bahagian belakang menggunakan disc hidraulik 220 mm dengan single-piston caliper. Kuasa hentian terasa progresif dan lebih daripada mencukupi untuk motosikal dalam kelas ini, memberikan saya keyakinan sama ada ingin memperlahankan motosikal dari kelajuan highway atau berhadapan dengan kesesakan lalu lintas bandar.
MT-25 juga didatangkan dengan dual-channel, dan saya gembira Yamaha melengkapi motosikla ini dengan ciri tersebut. Terdapat beberapa kali semasa saya menggunakan motosikal ini di mana saya terpaksa brek secara mengejut, dan ABS telah melakukan tugasnya dengan baik..
Ia merupakan salah satu ciri yang anda harap anda tak akan perlukan, tetapi apabila anda memerlukannya, anda akan bersyukur ia ada. Terutamanya bagi rider baharu, ia memberikan keyakinan dan keselamatan tambahan tanpa menghilangkan rasa keseronokan.

Kesimpulan
Secara keseluruhannya, Yamaha MT-25 merupakan sebuah motosikal yang berjaya menggabungkan praktikaliti harian dengan pengalaman menunggang yang menarik. Ia mungkin bukan motosikal paling berkuasa dalam segmen 250cc, tetapi ia tak semestinya bersifat begitu. Sebaliknya, ia memberi tumpuan kepada penyampaian prestasi yang lancar, handling yang boleh diramal dan riding position yang selesa dan mudah untuk digunakan setiap hari.
Apa yang paling mengagumkan saya ialah betapa mudahnya motosikal itu terasa dari semasa ke semasa. Saya akui, ia terasa agak menakutkan semasa tunggangan pertama saya kerana beratnya, terutamanya pada kelajuan rendah.
Walau bagaimanapun, sebaik sahaja saya meluangkan lebih banyak masa dengannya dan memahami ciri-cirinya, MT-25 telah menjadi motosikal yang terasa semula jadi dan memberikan keyakinan. Ia adalah salah satu motosikal yang memberi ganjaran kepada anda semakin kerap anda menunggangnya.
Enjin parallel-twin menawarkan prestasi yang mencukupi untuk membuatkan anda tersenyum, manakala ciri-ciri yang dimilikinya menambahkan sentuhan premium pada keseluruhan pakej. Sama ada anda sedang meredah kesesakan lalu lintas bandar, ulang-alik ke tempat kerja atau keluar untuk ride hujung minggu, MT-25 terasa lebih daripada mampu untuk mengendalikan semuanya.
Selepas meluangkan masa dengan Yamaha MT-25, mudah untuk difahami mengapa ia terus menjadi salah satu pilihan yang lebih popular dalam segmen motosikal naked 250cc. Ia memberikan enjin yang sama menghiburkan seperti YZF-R25 tetapi dengan pakej yang lebih selesa dan praktikal, menjadikannya kenderaan serba boleh yang hebat untuk jalan raya Malaysia.
Jika anda sedang mencari Yamaha MT-25 terpakai, anda akan menemui banyak unit tersedia di iMotorbike. Layari website iMotorbike atau kunjungi showroom berdekatan anda untuk melihat model yang tersedia dan alami sendiri keterujaan Yamaha MT-25.
Spesifikasi Yamaha MT-25
Enjin & Prestasi
- Enjin: 249cc Liquid-cooled, 4-stroke, Parallel-Twin, DOHC, 8-valve
- Kuasa Maksimum: 35 hp pada 12,000 rpm
- Tork Maksimum: 22.6 Nm tork pada 10,000 rpm
- Transmisi: 6-kelajuan
- Klac: Wet multi-disc
Casis & Suspensi
- Rangka: Lightweight, diamond-type steel frame
- Suspensi Depan: Fork hadapan terbalik (USD)
- Suspensi Belakang: Monoshock belakang preload-adjustable
- Brek Depan: Single 298mm floating hydraulic disc, 2-piston caliper dengan ABS
- Brek Belakang: Single 220mm hydraulic disc, 1-piston caliper dengan ABS
- Tayar: 110/70-ZR17 (depan), 140/70-ZR17 (belakang)
Dimensi & Elektronik
- Berat Basah: 167 kg
- Tinggi Tempat Duduk: 780 mm
- Kapasiti Tangki Minyak: 14 Liter
- Elektronik: Panel meter LCD digital, Dual-channel ABS




Facebook
Instagram
X (Twitter)
YouTube
LinkedIn
RSS