95 kenderaan boleh dilesenkan dilelong, dengan bidaan tertinggi RM15,700 dan penyertaan 120 pembida dalam siri pertama tahun ini.

Langgan saluran Instagram kami untuk info dan berita terkini!
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan berjaya mengutip hasil sebanyak RM187,100 menerusi lelongan awam siri pertama tahun ini yang melibatkan 100 kenderaan sitaan. Perkara itu dimaklumkan Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusof.
Menurut beliau, daripada jumlah keseluruhan kenderaan yang dilelong, 95 unit merupakan kenderaan yang masih boleh dilesenkan manakala selebihnya tidak boleh dilesenkan. Kesemua kenderaan tersebut disita hasil pelbagai operasi penguatkuasaan yang dijalankan pihak JPJ.
Beliau menjelaskan, antara kesalahan utama pemilik kenderaan terbabit termasuk tidak memiliki cukai jalan yang sah, tiada perlindungan insurans serta tidak mempunyai lesen memandu.

Dalam lelongan tersebut, bidaan tertinggi yang diterima ialah sebanyak RM15,700 bagi sebuah lori jenis rigid, manakala bidaan terendah pula RM50 melibatkan sebuah motosikal lusuh. Hanif berkata, lelongan awam seperti ini diadakan dua kali setahun dan bagi siri kali ini, sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan penyertaan seramai 120 pembida.
Tambah beliau, setakat ini proses lelongan awam kenderaan lucut hak masih dijalankan secara manual. Bagaimanapun, pihaknya merancang untuk memperkenalkan sistem bidaan secara dalam talian pada masa akan datang di bawah seliaan ibu pejabat JPJ bagi memudahkan urusan serta meningkatkan kecekapan proses lelongan.



Facebook
Instagram
X (Twitter)
YouTube
LinkedIn
RSS