Pelumba muda berusia 18 tahun itu raih peluang wild card Moto3, bakal turun beraksi di hadapan penyokong tempatan di Sepang.

Subscribe to our Telegram channel for instant updates!
Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli sah bakal melakukan kemunculan sulung pada Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia bagi kelas Moto3 menerusi tiket jemputan (wild card) pada 24 hingga 26 Oktober ini di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Menurut kenyataan media dikeluarkan oleh SIC hari ini, pelumba berusia 18 tahun itu bakal melakar sejarah peribadi apabila diberi peluang bersaing bersama barisan pelumba Moto3 dunia di hadapan ribuan penyokong tempatan.
Hakim Danish sebelum ini menamatkan saingan musim 2025 dalam Piala Red Bull MotoGP Rookies di kedudukan ketiga keseluruhan dengan 171 mata, sekali gus menjadi pelumba Malaysia pertama mencapai pencapaian tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif, berkata peluang wild card ini adalah pengiktirafan terhadap bakat dan pencapaian luar biasa yang ditunjukkan oleh Hakim Danish.
“Tiga tahun selepas Syarifuddin Azman (Damok), rakyat Malaysia sekali lagi berpeluang menyaksikan seorang lagi pelumba tempatan bertanding dalam Moto3 bersama SIC.
Ini bukan sekadar perlumbaan, malah ia lambang kejayaan pelan pembangunan sukan permotoran negara (MDEC) yang bermula dari akar umbi sehingga berjaya ke pentas dunia,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Beliau menegaskan, Hakim Danish antara bakat muda terbaik yang berjaya dilahirkan negara ketika ini, hasil program pembangunan pelumba yang konsisten.

Dalam pada itu, Shafriman menyeru seluruh peminat sukan permotoran tanah air supaya turun ke Sepang bagi memberikan sokongan padu kepada anak jati Terengganu tersebut.
“Saya menjemput setiap peminat untuk datang ke SIC, penuhi tempat duduk grandstand, dan bersama-sama kita berikan sorakan gemuruh buat bakal juara masa depan kita di GP Malaysia,” katanya.
Selain menyertai Red Bull MotoGP Rookies Cup, Hakim Danish kini juga sedang beraksi dalam Kejohanan Dunia FIM JuniorGP yang masih berbaki dua pusingan di Barcelona dan Valencia, Sepanyol, November ini.
Untuk rekod, beliau merupakan pelumba Malaysia pertama yang menjuarai Asia Talent Cup 2022, selain pernah beraksi dalam European Talent Cup dan mencatat keputusan podium tiga tahun lalu.


Facebook
Instagram
X (Twitter)
YouTube
LinkedIn
RSS