Insurans motorsikal bukan sekadar syarat undang-undang, tetapi perlindungan penting yang boleh menyelamatkan kewangan dan nyawa penunggang di jalan raya Malaysia.

Langgan saluran Telegram kami untuk kemas kini segera!
Di Malaysia, memiliki insurans motosikal bukan sahaja satu keperluan undang-undang, kerana ia juga langkah penting dalam menjaga keselamatan dan kewangan anda di jalan raya. Namun, ramai penunggang motosikal masih kurang faham tentang jenis-jenis perlindungan yang ditawarkan, dan kenapa insurans memainkan peranan besar dalam kehidupan seharian sebagai penunggang.
Insurans: Wajib dan Bijak
Setiap pemilik motosikal diwajibkan untuk mempunyai insurans sah sebelum boleh memperbaharui cukai jalan (road tax). Ini kerana insurans motor bertindak sebagai perlindungan asas sekiranya berlaku kemalangan, kecederaan atau kerosakan kepada pihak ketiga.
Tetapi, selain menjadi syarat JPJ, insurans juga merupakan satu bentuk perlindungan kewangan. Bayangkan jika anda terlibat dalam kemalangan dan perlu membayar ganti rugi kepada pihak lain atau membaiki kerosakan motosikal, kosnya boleh mencecah ribuan ringgit. Di sinilah insurans bertindak sebagai penyelamat.

Jenis Perlindungan: Tidak Semua Sama
Secara umum, terdapat tiga jenis pelan insurans motosikal di Malaysia, dan yang paling ramai orang pilih adalah pihak ketiga atau dikenali (Third Party). Pihak ketiga ini termasuk dengan kecurian dan kebakaran, serta komprehensif. Walaupun ramai memilih pelan ini kerana pelan paling asas untuk menjimatkan wang, perlindungan minimum ini tidak akan menanggung kerosakan kepada motosikal anda sendiri.
Di sinilah ramai penunggang membuat pertimbangan, adakah berbaloi membayar lebih sedikit setiap tahun untuk perlindungan yang lebih menyeluruh? Bagi motosikal baharu atau berharga tinggi, perlindungan komprehensif selalunya lebih bijak kerana ia melindungi motosikal anda sendiri jika berlaku kemalangan.

Faktor Penentu Kadar Insurans
Kadar insurans bergantung kepada beberapa faktor seperti kapasiti enjin (cc), nilai pasaran motosikal, umur pemilik, dan rekod tuntutan sebelum ini. Secara amnya, motosikal berkuasa tinggi atau premium akan dikenakan kadar lebih tinggi berbanding motosikal biasa seperti kapcai.
Tambahan pula, jika motosikal anda dilengkapi sistem keselamatan tambahan seperti penggera atau GPS tracker, sesetengah syarikat insurans mungkin menawarkan diskaun sebagai galakan keselamatan.

Perubahan dan Inisiatif Terkini
Baru-baru ini, beberapa inisiatif telah diperkenalkan bagi membantu golongan B40 mendapatkan insurans asas pada harga lebih mampu milik. Contohnya, tawaran subsidi insurans motor oleh beberapa syarikat insurans tempatan. Langkah ini memberi peluang kepada lebih ramai penunggang untuk menikmati perlindungan asas, terutamanya mereka yang menggunakan motosikal sebagai alat mencari rezeki harian.
Pada masa sama, platform dalam talian kini memudahkan pengguna untuk membuat perbandingan harga dan membeli insurans tanpa perlu ke kaunter. Ini mempercepatkan proses pembaharuan dan memberi lebih fleksibiliti kepada pengguna.
Kesedaran Masih Rendah
Walaupun insurans adalah satu keperluan asas, kesedaran tentang kepentingannya masih rendah dalam kalangan sesetengah penunggang. Ada yang hanya membayar premium paling murah tanpa mengambil tahu tentang terma dan syarat perlindungan. Malah, ada juga yang memperbaharui cukai jalan tanpa menyemak sama ada insurans mereka masih aktif atau tidak.
Oleh itu, penting untuk setiap penunggang mengambil sedikit masa untuk memahami apa yang mereka bayar dan apa yang mereka dilindungi. Bacalah polisi insurans anda, tanya ejen atau buat sedikit penyelidikan, kerana hanya dengan maklumat yang betul, anda boleh membuat keputusan yang bijak.
Penutup
Insurans motorsikal bukan sekadar formaliti, tetapi pelaburan dalam keselamatan diri dan kewangan anda. Dalam dunia yang penuh dengan risiko di jalan raya, perlindungan yang betul boleh membuat perbezaan besar apabila perkara tidak dijangka berlaku.
Sama ada anda menunggang ke tempat kerja, menghantar makanan, atau sekadar untuk keseronokan, pastikan anda dilindungi dengan insurans yang sesuai. Jangan tunggu sehingga berlaku kemalangan untuk sedar betapa pentingnya polisi yang anda miliki.



Facebook
Instagram
X (Twitter)
YouTube
LinkedIn
RSS