Siri perlumbaan kapcai paling berprestij Malaysia terus kukuhkan pembangunan bakat tempatan dan penglibatan komuniti di bandar-bandar seluruh Semenanjung.

Langgan saluran Instagram kami untuk info dan berita terkini!
Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix bakal kembali bagi Musim ke-33 pada tahun 2026, meneruskan legasinya sebagai siri perlumbaan motosikal nasional paling berpengaruh di Malaysia. Musim baharu ini dijangka sekali lagi membawa keterujaan perlumbaan ke bandar-bandar di seluruh Semenanjung Malaysia, sambil mengukuhkan peranan kejuaraan ini sebagai tunjang pembangunan sukan permotoran negara.
Kerjasama jangka masa panjang antara PETRONAS dan penganjur Safe Aim Mutual akan terus menjadi pemacu utama dalam usaha memupuk bakat tempatan, memperkukuh penglibatan industri serta memperluaskan capaian sukan ini kepada komuniti di seluruh negara.
Mengulas mengenai musim akan datang, Pengarah Promosi Safe Aim Mutual, Ron Hogg, berkata misi untuk mempertingkatkan standard perlumbaan motosikal nasional kekal menjadi fokus utama.
“Misi kami untuk meningkatkan prestasi perlumbaan motosikal nasional kekal utuh dan akan menyaksikan pembangunan prestasi yang lebih menyeluruh. Selain itu, penglibatan komuniti akan terus menjadi keutamaan utama sepanjang kejuaraan ini, dengan inisiatif berterusan bagi membina kesedaran dan minat secara konsisten,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa para pelumba, pasukan dan pemain industri akan sekali lagi mewarnai pelbagai lokasi penganjuran, sekali gus memastikan kejuaraan ini kekal dekat dan relevan dengan komuniti tempatan.
“Pencapaian sepanjang tahun lalu tidak mungkin direalisasikan tanpa sokongan padu rakan strategik kami, khususnya PETRONAS, serta sumbangan kolektif semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan misi bersama ini. Kepada semua yang telah memainkan peranan, terima kasih dan tahniah. Kami menantikan satu lagi musim yang penuh keterujaan,” tambah beliau.
Musim 2026 dijangka terus menjadi platform penting dalam mencungkil bakat baharu serta memperkukuh kedudukan Malaysian Cub Prix sebagai asas pembangunan pelumba tempatan ke peringkat lebih tinggi dalam arena perlumbaan motosikal.



Facebook
Instagram
X (Twitter)
YouTube
LinkedIn
RSS