Polis guna dron kesan penunggang motosikal langgar peraturan di Lebuhraya Persekutuan. 32 saman dikeluarkan dalam masa setengah jam, termasuk kepada ‘rider’ yang ingat boleh lepas lari.

Langgan saluran Telegram kami untuk kemas kini segera!
Kalau selama ni penunggang motosikal rasa mereka boleh lepas kalau langgar undang-undang, lebih-lebih lagi bila guna laluan utama dan bukan lorong motosikal, fikir semula. Hari ini, polis turun padang dengan ‘backup’ teknologi canggih iaitu dron!
Dalam satu operasi penguatkuasaan di Lebuhraya Persekutuan, polis dari IPD Petaling Jaya dengan bantuan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman guna dron untuk rakam aksi penunggang yang buat kesalahan trafik. Operasi yang bermula jam 11 pagi ini dilaporkan Bernama sebagai sebahagian usaha untuk kurangkan kemalangan yang banyak melibatkan penunggang motosikal.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Shahrulnizam Ja’afar kata, walaupun baru setengah jam operasi berjalan, 32 saman sudah dikeluarkan, termasuk yang kena tahan terus di lokasi dan yang dikesan melalui rakaman dron.
“Ramai yang ingat boleh lari lepas buat salah, tapi nombor plat dah kami rakam. Saman tetap akan sampai ke rumah,” kata beliau. “Kita akan proses laporan trafik dahulu sebelum tindakan lanjut diambil bawah POL 170A.”

Penunggang Kena Sedar Risiko
ACP Shahrulnizam turut tegur sikap sesetengah penunggang yang bertindak seperti ‘samseng jalanan’ dengan selamba langgar undang-undang dan guna laluan utama yang sepatutnya untuk kenderaan besar.
“Sekiranya mereka menggunakan jalan utama, mereka juga berisiko tinggi untuk mendapat kecederaan akibat daripada kemalangan, jadi operasi motosikal pada hari ini bertujuan meminimumkan kes kemalangan.
Statistik juga membimbangkan, katanya, 70% kematian jalan raya datang daripada golongan penunggang motosikal.
Mengikut data polis, jumlah kes kemalangan motosikal di Lebuhraya Persekutuan bawah IPD Petaling Jaya meningkat ketara, 204 kes dicatat setakat tahun ini (naik 35.1% berbanding tahun lepas). Tahun lepas ada 52 kes kematian, dan tahun ini sudah pun ada 34 kes maut direkodkan sehingga Mei.

Laluan Motosikal Kena Dijaga Juga
ACP Shahrulnizam juga menasihatkan kepada syarikat konsensi lebuh raya untuk memastikan laluan motosikal selamat dilalui oleh para penunggang dari segi pencahayaan dan keadaan jalan raya itu sendiri bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Dengan bantuan teknologi macam dron ni, jelas pihak polis semakin serius dalam memastikan jalan raya lebih selamat untuk semua. Jadi, kalau anda delivery rider, commuter harian atau rider hujung minggu, ikut laluan yang betul ya! Patuhilah undang-undang jalan raya dan sentiasa ingat orang tersayang.


Facebook
Instagram
X (Twitter)
YouTube
LinkedIn
RSS