Konvoi KTM Malaysia CKD Yang Paling Mengujakan
Please click here for English version
6hb.–7hb. Mei 2017, Gopeng, Perak – Seperti biasa, KTM Malaysia CKD telah mengelolakan konvoi bermotosikal untuk dinikmati oleh pemilik-pemilik motosikal KTM dan kali ini kami berkonvoi pula ke pekan Gopeng, Perak.
Nama Gopeng mungkin tidak menyerlah seperti destinasi-destinasi pelancongan yang lain di Malaysia seperti Pulau Pinang, Genting Highlands, Melaka, dan lain-lain, akan tetapi Gopeng merupakan sebuah bandar perlombongan bijih timah yang paling penting di Lembah Kinta sehingga tahun 1890.
Namun, Gopeng menjadi pilihan KTM Malaysia kali ini kerana destinasi ini menawarkan aktiviti-aktiviti yang sungguh menyeronokkan seperti pelancongan eco dan sukan-sukan ekstrim.
Malah, pemenang peraduan hasil kerjasama di antara KTM Malaysia dan iMotorbike.com, En. John Chong juga dapat mengalami aktiviti berkonvoi serta bersantai dengan menggunakan jentera KTM 690 Duke yang pinjamkan oleh KTM Malaysia.
Seramai hampir 90 peserta konvoi mula berkumpul di Plaza Tol Gopeng sebelum kami berarak ke sebuah restoran yang berdekatan untuk makan tengahari. Walaupun juadah yang disediakan kelihatan seakan biasa sahaja (ayam masak merah, sayur-sayuran ulam), ia sungguh sedap, apatah lagi bagi mereka yang penat menunggang daripada Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Kuala Lumpur.
Sejurus itu, konvoi berhenti pula untuk mengisi bahanapi di sebuah stesen minyak BHP, di mana pengiring polis sudah bersedia untuk mengiringi konvoi ke Natasya Riverside Resort, di Kampung Jahang.
Bilik-bilik penginapan di resort ini mengikut senibina kontena dan dapat menempatkan seramai tiga penghuni di dalam setiap satu. Kemudahan dalam bilik termasuk telivisyen, penghawa dingin dan bilik air yang agak besar. Tapi faktor yang paling penting ialah semuanya bersih.
Para peserta kemudiannya mengikuti aktiviti meluncur di sungai menggunakan pelampung tiub tayar. Ada juga peserta yang keluar bersiar-siar di sekitar bandar bersejarah ini. Bagi John Chong dan pengarang cerita ini pula, kami berjalan kaki ke “Starbucks kampong” (warung teh) yang berdekatan untuk menjalinkan semangat silrattuhrahim. Bukan kerana kami enggan bercampur, tapi kerana kami rasa letih setelah merantau ke sini-sana sebelum konvoi ini.
Akhirnya, makan malam ber-BBQ dijalankan selepas waktu Isyak yang disertai dengan aktiviti berkaraoke di resort ini.
Kami semua bangun di awal pagi hari kedua, untuk menaikki dua buah lori yang telah membawa kami ke Gua Tempurung yang hanya sejauh 2km daripada Resort Natasya. Akan tetapi disebabkan jalan yang tidak berturap (offroad), perjalanan kami yang agak perlahan memberi kami peluang untuk melihat persekitaran dengan lebih dekat lagi.
Aktiviti-aktiviti di Gua Tempurung dibahagikan kepada beberapa pakej. Bagi mereka yang membeli tiket untuk “pakej santai,” mereka akan dibawa oleh pembimbing (guide) ke suatu tempat sahaja sebelum keluar kembali. Bagi kami yang telah membeli “pakej basah,” aktiviti kami lebih lasak di dalam gua dan kami diwajibkan memakai topi keledar, serta digalakkan untuk membawa lampu suluh.
Di sini terdapat sebuah kedai yang menjual segala jenis lampu suluh sebelum masuk jadi anda dapat membelinya jika anda terlupa membawanya daripada rumah. Selain itu, anda diingatkan jangan membawa kamera DSLR untuk pakej basah dan anda harus membawa beg kalis air jika anda hendak membawa bersama barang-barang berharga seperti telefon bimbit, beg wang, dan sebagainya.
Pembimbing akan menerangkan tempat-tempat tertentu dan ciri-ciri khas di dalam gua seperti usianya yang menjangkau 400 juta tahun dan bentuk-bentuk batu-batan yang dihasilkan oleh kuasa semulajadi. Terdapat bentuk-bentuk seperti kepala gajah, kepala kambing, kepala watak kartun Snoopy, sehelai baju-T dan sebagainya.
Pengembaraan di dalam gua dimulakan dengan pemanjatan sebanyak lebih daripada 600 anak tangga yang disediakan. Oleh itu, pembimbing akan menanyakan samada terdapat peserta yang mengalami keadaan sakit jantung, asma (lelah) atau pernah mengalami kecederaan anggota sebelum memulakan aktiviti.
Setelah kami berpenat-lelah untuk sampai ke tempat yang paling tinggi di dalam gua (yang dinamakan Top of the World yang berada setinggi 125 meter daripada kaki gua), kami pun mula turun ke kaki gua.
Bermula dari titik ini, tiada lagi lampu elektrik maka kami mula menggunakan lampu suluh.
Kami kemudiannya tiba di satu lerengan di dalam gua dan kami harus meluncur ke bawah. Pembimbing di bawah bersedia untuk menyambut kami. Terdapat juga pembimbing wanita untuk menolong peserta wanita.
Setibanya di bawah lereng itu, kami pula memasukki satu lubang kecil di lantai untuk meneruskan perjalanan mengikut anak sungai di dalam gua. Airnya cetek dan dingin.
Kami dapat berdiri tegak pada mulanya tetapi kemudiannya harus merangkak di dalam air. Sebab itulah pembimbing menyarankan agar saya jangan membawa kamera DSLR. Kami melalui satu demi satu lubang gua yang dipenuhi air. Walaupun ada yang rasa takut pada mulanya, suara dan lampu kawan-kawan menjadikan ia suatu pengalaman gembira dan mengujakan yang akan diingati sehingga bila-bila masa. Tidak pula kami menyangka akan bersyukur apabila menghadapi pancaran matahari yang terik setelah keluar daripada gua dengan selamat.
Terdapat juga sebuah band baskers di sini yang mendendangkan lagu “blues” Melayu serta Inggeris yang enak sekali didengar. Selain daripada itu, penyanyi dan pemain gitar utamanya menggunakan gitar logam (steel guitar).
Terdapat juga kesedihan apabila ada di antara kami yang mendapati bahawa air telah dapat meresap ke dalam beg yang mereka bawa bersama. Telefon pengarang ini telah dimasukki air dan terus rosak. Seorang staf KTM Malaysia pula rosak kedua-dua iPhone 6 dan 6 Plus beliau.
Kesemua peserta pulang kembali ke resort untuk mandi-manda dan makan tengahari sebelum “check out.”
Kami kemudiannya berkunjung ke Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim/Miskin Dahikmah untuk program kebajikan. KTM Malaysia dapat mengumpulkan dana sebanyak RM 1,056 hasil sumbangan peserta yang kemudiannya disedekahkan kepada rumah kebajikan tersebut.
Program kali ini bersurai setelah bersalaman serta mengenali anak-anak yatim di sana. Ada peserta yang berkonvoi pula ke Cameron Highlands ada yang terus pulang ke rumah masing-masing.
Konvoi KTM Malaysia kali ini merupakan aktiviti yang paling mengujakan dan setiap peserta pulang dengan memori yang manis dan senyuman kepuasan walaupun penat, serta harapan yang KTM Malaysia akan terus mengelolakan program-program seperti ini.
Anda juga boleh mengikuti laman Facebook rasmi KTM Malaysia untuk program-program selanjutnya.
Facebook
Instagram
YouTube
LinkedIn
RSS