Selepas musim sulung yang tertumpu kepada pembangunan, pasukan kendalian Azlan Shah Kamaruzaman kini lebih bersedia mencabar kelompok hadapan.

Langgan saluran Instagram kami untuk info dan berita terkini!
Menjelang pembukaan musim baharu Petronas MAM Malaysian Cub Prix Championship 2026 pada April ini, Voge Racing Team tampil dengan pendekatan lebih kompetitif berbanding musim sulung mereka tahun lalu. Jika musim 2025 menjadi medan pembelajaran dan pengumpulan data, musim ini pasukan tersebut kini menyasarkan untuk memberi saingan sebenar di kelompok hadapan.
Pasukan yang diketuai oleh prinsipal Azlan Shah Kamaruzaman itu membuat penampilan pertama dalam Cub Prix musim lalu dengan jentera Voge FR150. Sepanjang musim tersebut, fokus utama adalah mengumpul data dan memperhalusi prestasi motosikal bagi memahami potensi sebenar jentera Voge dalam perlumbaan.
Memasuki musim kedua, Azlan berkata pasukan telah memulakan latihan awal dengan fokus kepada peningkatan prestasi enjin, penghantaran kuasa serta tetapan suspensi bagi memastikan motosikal lebih stabil dan mudah dikawal.

“Tahun ini kami mensasarkan untuk memberi saingan. Jika musim lalu kami lebih kepada memahami motosikal dan mengumpul data, musim ini kami mahu bersaing di kelompok hadapan dan memburu podium,” katanya.
Menurut Azlan, barisan pelumba sedia ada turut memainkan peranan penting dalam pembangunan motosikal kerana mereka kini lebih memahami karakter jentera tersebut. Pasukan juga merancang latihan tambahan termasuk latihan motocross bagi meningkatkan keyakinan dan tahap agresif pelumba.
Dengan asas yang lebih kukuh selepas musim pertama, Voge Racing Team kini melangkah ke musim 2026 dengan keyakinan baharu untuk mencabar keputusan lebih baik dalam kejuaraan Cub Prix.



Facebook
Instagram
X (Twitter)
YouTube
LinkedIn
RSS