Operasi tujuh jam di laluan Gombak–Karak (LPT1) menyasarkan penunggang motosikal berkuasa tinggi susulan peningkatan kes kemalangan.

Subscribe to our Instagram Channel for instant news & updates!
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita sebanyak 133 buah kenderaan bernilai kira-kira RM2 juta dalam Ops Khas Motosikal yang dijalankan selama tujuh jam pada Ahad, 25 Januari lalu. Operasi ini dilaksanakan bagi menangani peningkatan kes kemalangan yang melibatkan motosikal, khususnya motosikal berkuasa tinggi.
Operasi berfokuskan penguatkuasaan di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) laluan Gombak–Karak itu melibatkan 183 anggota JPJ daripada JPJ Ibu Pejabat serta JPJ Negeri Pahang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan.
Memetik laporan Kosmo, Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan, berkata sepanjang operasi yang bermula seawal 6 pagi, sebanyak 1,203 notis telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Menurut beliau, antara kesalahan tertinggi dikesan ialah tidak memiliki lesen memandu dengan 274 notis, diikuti tidak memperbaharui atau tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM) sebanyak 232 notis, serta tiada perlindungan insurans melibatkan 193 notis.
“Daripada jumlah kenderaan disita, 110 buah motosikal termasuk lapan motosikal berkuasa tinggi, 21 buah kereta termasuk enam kereta mewah, sebuah van serta sebuah lori,” katanya.

Beliau turut mendedahkan satu kes melibatkan kereta mewah yang disita kerana bukan sahaja tidak mempunyai LKM dan perlindungan insurans, malah menggunakan nombor pendaftaran kenderaan lain.
“Bagi kes ini, JPJ mengambil dua tindakan ke atas pemandu dan pemilik kenderaan kerana tiada LKM dan insurans, serta di bawah Seksyen 108 kerana memalsukan nombor pendaftaran, dengan hukuman denda antara RM5,000 hingga RM20,000,” jelasnya pada sidang akhbar di Stesen Penguatkuasaan JPJ Karak.
Datuk Muhammad Kifli menegaskan bahawa JPJ memandang serius trend pemandu yang menggunakan atau mempamerkan nombor pendaftaran palsu bagi mengelak tindakan penguatkuasaan.
“Pelbagai motif dikenal pasti, namun yang paling ketara adalah untuk mengelak tindakan penguatkuasaan, terutamanya kamera AwAS (Automated Awareness Safety System),” katanya.
JPJ menegaskan operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang jalan raya serta meningkatkan tahap keselamatan semua pengguna jalan raya.



Facebook
Instagram
X (Twitter)
YouTube
LinkedIn
RSS