Diperkenalkan pada harga RM48,888, model baharu ini tampil dengan kuasa tinggi, ciri moden dan rekaan lasak untuk pengembaraan jarak jauh serta laluan off-road.

Langgan saluran Telegram kami untuk berita terkini!
CFMoto Malaysia baru-baru ini melancarkan satu lagi model baharu dalam segmen motosikal touring, iaitu CFMoto 800MT-X 2025, yang dilancarkan secara eksklusif di Men Huat Motors Sdn. Bhd. Ditawarkan pada harga RM48,888.00 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan), model ini hadir dalam dua pilihan warna yang menarik, Zephyr Blue dan Nebula Black.
Direka khas untuk penunggang yang gemar menjelajah laluan jauh serta mencabar, 800MT-X dikuasakan oleh enjin 799cc sejukan cecair, dua silinder selari, 4-lejang DOHC. Ia mampu menghasilkan kuasa maksimum 94hp pada 8,500 rpm dan tork puncak 87Nm pada 6,750rpm. Nisbah mampatan enjin adalah 12.8:1 dengan ukuran lubang dan lejang 88mm x 65.7mm. Enjin ini menggunakan sistem suntikan bahan api EFI, penyalaan T.C.I dan penghidup elektrik, bersama sistem pelinciran percikan tekanan untuk prestasi konsisten dan tahan lama. Kotak gear 6-kelajuan, klac jenis wet multi-plate dengan fungsi sliding dan sistem pemacu akhir rantai melengkapkan keupayaan mekanikalnya.
Bagi kestabilan maksimum, model ini dilengkapi fork teleskopik jenis terbalik (USD) di bahagian hadapan dan suspensi monoshock di belakang yang boleh dilaras, memberikan kawalan dan keselesaan dalam pelbagai keadaan jalan. Tayar CST digunakan, 90/90-21 di hadapan dan 150/70-R18 di belakang, sesuai untuk penunggangan dwi-permukaan. Sistem brek pula dibekalkan oleh J.Juan, dengan cakera berkembar di hadapan yang disertakan ABS serta cakera tunggal di belakang dengan ABS boleh laras.

Antara ciri menarik lain termasuk sistem Kawalan Cengkaman (TCS) yang boleh diaktif atau dinyahaktifkan mengikut keperluan, serta sistem Quickshifter yang membolehkan penukaran gear lancar tanpa menggunakan klac. Penunggang boleh memilih tiga mod tunggangan, Standard, Hujan dan Off-road, untuk menyesuaikan kuasa enjin dengan keadaan cuaca atau permukaan jalan. Ciri teknologi tambahan seperti cruise control, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), dan suis keselamatan tongkat sisi turut melengkapkan jentera ini, memastikan keselamatan dan kecekapan maksimum sepanjang perjalanan.
Paparan TFT bersaiz 7 inci dalam orientasi menegak memaparkan maklumat tunggangan dengan jelas. Untuk kemudahan digital, port pengecas USB Type-A dan Type-C turut disediakan. Motosikal ini menggunakan sistem kunci mekanikal dan pendikit elektronik, menggabungkan kawalan moden dengan kebolehpercayaan tradisional.
Bagi keselesaan tambahan, 800MT-X turut dilengkapi pelindung tangan dan cermin hadapan boleh laras secara manual, memberikan perlindungan angin yang lebih baik ketika menunggang pada kelajuan tinggi. Kapasiti penyimpanan juga dititikberatkan dengan dua kotak sisi 35L dan satu kotak atas 45L yang sesuai untuk perjalanan jauh.
Dengan kapasiti tangki bahan api 22.5 liter, berat keseluruhan 220kg, ketinggian pelana 830mm, jarak roda 1,530mm dan dimensi keseluruhan 2,288mm (P) × 945mm (L) × 1,446mm (T), CFMoto 800MT-X dibina untuk pengembaraan sejati yang menuntut ketahanan fizikal serta keselesaan ergonomik.
Setiap pembelian CFMoto 800MT-X hadir dengan jaminan dua tahun tanpa had perbatuan, serta akses kepada alat ganti tulen melalui platform atas talian rasmi CFMoto Malaysia, menjadikan model ini pilihan ideal bagi penunggang yang mengutamakan prestasi dan keyakinan ketika menjelajah.

Facebook
Instagram
X (Twitter)
YouTube
LinkedIn
RSS