CFMOTO 250NK Lite Dilancarkan di Malaysia, Harga Bermula Dari RM9,888.

Langgan saluran Telegram kami untuk berita terkini!
Selepas pelancaran CFMOTO 700MT pada bulan Mac lalu, CFMOTO Malaysia sekali lagi mencuri tumpuan dengan memperkenalkan model terbaharu dalam kategori naked bike iaitu CFMOTO 250NK Lite. Pelancaran ini berlangsung secara eksklusif di Courtyard Kuala Lumpur dan menawarkan pilihan kepada penunggang yang mencari motosikal ringkas, lincah dan berbaloi untuk kegunaan harian.
Model ini tampil dalam empat warna menarik iaitu Zephyr Blue, Bordeaux Red, Nebula White dan Nebula Black. Ditawarkan pada harga permulaan RM9,888.00 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans), CFMOTO 250NK Lite kini boleh didapati menerusi pengedar sah CFMOTO di seluruh negara.
CFMOTO 250NK Lite dikuasakan oleh enjin satu silinder, 4-lejang, DOHC, sejukan cecair berkapasiti 249cc, menghasilkan 20.5kW pada 9,750rpm dan tork maksimum 22Nm pada 7,500rpm. Gabungan piston dan lejang 72mm x 61.2mm serta nisbah mampatan 11.3:1 memberi prestasi seimbang antara kuasa dan kecekapan. Sistem suntikan bahan api EFI memudahkan penyelenggaraan dan sesuai untuk penunggang yang mahukan prestasi boleh diharap dengan kos penjagaan rendah. Transmisi 6-kelajuan disambung melalui sistem rantai, manakala sistem penghidupan adalah jenis elektrik.

Dari segi dimensi, CFMOTO 250NK Lite berukuran 1,990mm panjang, 780mm lebar dan 1,070mm tinggi dengan jarak roda 1,360mm. Ketinggian tempat duduk 795mm dan kelegaan tanah 150mm menjadikannya sesuai untuk pelbagai saiz penunggang. Berat basah hanya 158kg, cukup ringan untuk kawalan mudah dalam kesesakan bandar. Tangki bahan api 12.5 liter pula cukup untuk perjalanan harian tanpa pengisian yang kerap.
Model ini dilengkapi dengan fork teleskopik 37mm di hadapan dan suspensi monoshock di belakang dengan jarak pergerakan masing-masing 120mm dan 46mm. Sistem brek terdiri daripada cakera tunggal 292mm dengan angkup empat piston di hadapan dan cakera 220mm dengan angkup satu piston di belakang. CFMOTO turut melengkapkan model ini dengan ABS dwi-saluran bagi keselamatan tambahan ketika membrek secara mengejut.
Tayar hadapan bersaiz 110/70-R17 dan belakang 140/60-R17, dipasang pada rim aloi aluminium bersaiz 3.0 × 17 MT (hadapan) dan 4.0 × 17 MT (belakang). Sistem pencahayaan menggunakan lampu LED penuh, termasuk lampu utama, brek dan isyarat arah — memberikan keterlihatan maksimum pada waktu malam serta penampilan moden dan bergaya. Beberapa ciri tambahan turut disediakan seperti paparan meter LCD, suis kecemasan di pemegang kanan, serta port pengecas USB Type-A dan Type-C yang menambah kemudahan kepada penunggang.
CFMOTO 250NK Lite menggunakan sistem kunci mekanikal dan dilengkapi dengan penapis minyak (oil filter) untuk memudahkan penyelenggaraan berkala. Ia juga menggunakan bateri 12V9Ah bagi menyokong sistem elektrik motosikal secara konsisten.
Setiap pembelian CFMOTO 250NK Lite hadir dengan jaminan pengeluar selama dua tahun tanpa had jarak perjalanan, selain perkhidmatan pembelian alat ganti tulen secara atas talian oleh CFMOTO Malaysia. Motosikal ini merupakan pilihan terbaik untuk penunggang yang mengutamakan nilai, gaya dan prestasi dalam satu pakej yang mampu milik.

Facebook
Instagram
X (Twitter)
YouTube
LinkedIn
RSS