Moto Morini X-Cape 700, Sebuah Adventure bike 700cc tampil dengan enjin berkuasa, ciri moden dan pakej lengkap untuk tunggangan jarak jauh.

Langgan saluran Instagram kami untuk info dan berita terkini!
Moto Morini X-CAPE 700 kini rasmi memasuki pasaran Malaysia selepas diperkenalkan sebelum ini dalam satu acara khas di China pada November tahun lalu.
Model adventure ini ditawarkan pada harga RM38,888, tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran. Tiga pilihan warna disediakan iaitu Hitam Batu, Merah Vortex dan Putih Dinamik. Setiap pembelian turut disertakan dengan waranti dua tahun tanpa had perbatuan terhadap kecacatan pengilangan.
X-Cape 700 dikuasakan oleh enjin dua silinder sejukan cecair berkapasiti 693cc, menghasilkan sekitar 73.75 hp pada 8,500 rpm dan 68.7 Nm tork pada 6,500 rpm. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi enam kelajuan bersama klac slipper FCC.
Dari segi pengendalian, motosikal ini dilengkapi fork terbalik Marzocchi boleh laras di hadapan serta monoshock KYB boleh laras di belakang. Jarak pergerakan suspensi masing-masing adalah 165 mm di hadapan dan 160 mm di belakang, dengan jarak kelegaan tanah 190 mm.
Sistem brek menggunakan komponen Brembo, termasuk cakera berkembar 298 mm di hadapan dengan kaliper empat omboh, serta cakera 255 mm di belakang. ABS dua saluran hadir sebagai standard. X-Cape 700 juga menggunakan rim jejari bersaiz 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, sesuai untuk tunggangan on-road dan off-road ringan.
Model ini dilengkapi paparan TFT-LCD 7 inci dengan sambungan Bluetooth, serta port pengecasan USB Type-A dan Type-C. Antara teknologi lain termasuk Traction Control System (TCS), Tyre Pressure Monitoring System (TPMS) dan mod tunggangan Off-Road serta Ride. Menariknya, motosikal ini turut hadir dengan kamera hadapan untuk tujuan keselamatan dan rakaman perjalanan.
Sebagai motosikal adventure, X-Cape 700 ditawarkan dengan set bagasi lengkap yang merangkumi dua pannier sisi dan satu kotak atas, selain pelindung tangan dan crash bar sebagai standard. Berat keseluruhan motosikal ini adalah sekitar 233 kg, dengan tangki bahan api berkapasiti 18 liter dan ketinggian tempat duduk 840 mm.
Dengan setiap pembelian, pelanggan turut menikmati waranti dua tahun tanpa had perbatuan serta kemudahan pembelian alat ganti tulen secara dalam talian melalui Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd..
Pelancaran X-Cape 700 menambah lagi pilihan dalam segmen adventure pertengahan di Malaysia, khususnya bagi penunggang yang mencari keseimbangan antara prestasi, teknologi dan keselesaan untuk perjalanan jauh.



Facebook
Instagram
X (Twitter)
YouTube
LinkedIn
RSS