Keadaan litar basah di Autódromo Internacional do Algarve mengehadkan pelaksanaan pelan ujian Moto3 menjelang musim baharu 2026.

Langgan saluran Instagram kami untuk info dan berita terkini!
Sesi Winter Test yang berlangsung di Autódromo Internacional do Algarve semalam tidak dapat dijalankan seperti yang dirancang berikutan hujan berpanjangan sepanjang hari.
Keadaan litar yang sentiasa basah mengehadkan masa tunggangan serta menyukarkan pasukan untuk melaksanakan pelan ujian secara menyeluruh mengikut perancangan awal. Situasi tersebut memaksa pasukan menyesuaikan strategi dan memberi fokus kepada pengumpulan data dalam keadaan litar basah.

Hakim Danish yang telah membuat persiapan rapi dari segi mental dan fizikal menjelang musim baharu 2026 mengakui sedikit kecewa kerana tidak dapat memaksimumkan sesi ujian tersebut. Namun begitu, pelumba Moto3 negara itu tetap melihat aspek positif daripada ujian berkenaan.
Walaupun keadaan tidak ideal, Hakim dan pasukannya berjaya mengumpul data penting yang boleh dimanfaatkan sekiranya berdepan perlumbaan dalam cuaca hujan sepanjang musim nanti. Ujian dalam keadaan litar basah turut memberi peluang kepada pasukan untuk menilai beberapa tetapan teknikal alternatif.

“Saya amat gembira kerana berpeluang menunggang jentera Moto3 bersama pasukan saya semalam. Sesi ujian berlangsung dalam keadaan hujan, jadi tidak banyak yang dapat dilakukan,” kata Hakim Danish.
“Namun, saya sempat mencuba beberapa tetapan baharu khusus untuk keadaan litar basah. Secara keseluruhan, saya masih belum dapat mempamerkan kemampuan sebenar saya sepenuhnya. Saya berharap sesi Winter Test di Jerez, Sepanyol akan berlangsung dalam keadaan cuaca yang lebih baik supaya kami dapat memaksimumkan persiapan menjelang pusingan pertama pada hujung bulan ini.”

Winter Test seterusnya dijadual berlangsung di Circuito de Jerez pada pertengahan Februari sebelum pasukan mengalihkan fokus sepenuhnya kepada pusingan pembukaan musim di Chang International Circuit, Thailand.
Dengan baki sesi ujian yang masih ada, pasukan berharap segala persiapan teknikal dan penyesuaian jentera dapat dimuktamadkan dengan lebih menyeluruh. Fokus utama kini adalah memastikan Hakim Danish berada pada tahap terbaik menjelang aksi kompetitif pertama musim 2026.



Facebook
Instagram
X (Twitter)
YouTube
LinkedIn
RSS