Aprilia RS-GP20 yang pernah ditunggangi oleh bekas pelumba MotoGP, Aleix Espargaró, pada musim 2020 kini tengah mencari tuan baru.

Langgan saluran Instagram kami untuk info dan berita terkini!
Satu jentera MotoGP sebenar kini bakal bertukar tangan apabila Aprilia RS-GP20 milik bekas pelumbanya, Aleix Espargaró, akan dilelong di UK pada 22 February.
Ini bukan sekadar jentera pameran, ini adalah nilai sejarah yang sangat unik, motosikal perlumbaan sebenar yang pernah digunakan dalam kejuaraan dunia MotoGP, terus dari koleksi peribadi pelumba tersebut.
Model RS-GP20 menandakan fasa penting pembangunan Aprilia dalam kelas premier. Musim 2020 menyaksikan jentera ini tampil dengan rombakan besar termasuk rangka aluminium baharu jenis double-rail, enjin V4 90-darjah serba baharu, aerodinamik yang diperhalusi, serta transmisi seamless yang lebih canggih.

Walaupun keputusan musim itu sederhana, jentera inilah yang menjadi asas lonjakan prestasi Aprilia pada tahun-tahun berikutnya.
Motosikal ini berada dalam simpanan Espargaró sejak 2022 selepas diperoleh terus daripada Aprilia. Lebih menarik, ia dijual bersama kelengkapan perlumbaan asal, sut kulit, helmet, but dan sarung tangan yang dipakai pelumba Sepanyol itu ketika berlumba dengan jentera ini.
Dari sudut sejarah, nilai sentimentalnya memang tinggi, memandangkan Espargaró merupakan figura utama yang membangunkan projek MotoGP Aprilia sejak 2017 hingga bersara pada hujung 2024.

Dari segi spesifikasi, jentera ini dikatakan masih dalam keadaan asal seperti keluar dari litar, lengkap dengan sistem elektronik Magneti Marelli, ekzos Akrapovič, suspensi khas Öhlins, cakera brek karbon, serta panel badan gentian karbon penuh. Ia turut disertakan dokumen rasmi dan rekod penghantaran daripada Aprilia.
Lelongan ini dikendalikan oleh Iconic Auctioneers sebagai sebahagian acara The Iconic Sale at Race Retro 2026 di Stoneleigh Park, Warwickshire. Menurut pihak penganjur, jarang sekali motosikal MotoGP tulen dilepaskan ke pasaran terbuka, apatah lagi terus daripada pelumba yang menunggangnya itu sendiri.

Nilai anggaran jualan dikatakan berada antara £300,000 (RM 1.6 Juta) hingga £400,000 (RM 2.1 Juta), menjadikannya antara jentera MotoGP paling eksklusif yang ditawarkan kepada orang awam. Walaupun berada dalam keadaan boleh bergerak, ia memerlukan bantuan teknikal Aprilia sebelum digunakan semula.
Bagi pengumpul motosikal atau peminat tegar MotoGP, inimungkin peluang pada mereka dan menjadi bukan sekadar pembelian, malah sebuah sejarah perlumbaan dunia.



Facebook
Instagram
X (Twitter)
YouTube
LinkedIn
RSS