Bekas pelumba MotoGP Malaysia bergabung dengan bakat Indonesia Andi Farid Izdihar, bentuk gandingan paling kuat Asia dalam kelas ASB1000.

Langgan saluran Instagram kami untuk info dan berita terkini!
Teka-teki mengenai siapakah rakan sepasukan kepada Hafizh Syahrin Abdullah akhirnya terjawab apabila pelumba Indonesia, Andi Farid Izdihar, disahkan menyertai JDT Racing Team bagi menghadapi saingan Asia Road Racing Championship (ARRC) musim 2026.
Pengumuman itu dibuat menerusi kenyataan rasmi pasukan di semua platform media sosial mereka.
“Selamat datang ke Rumah Juara – Andi Farid Izdihar. Andi menyertai juara bertahan, Hafizh Syahrin untuk saingan Asia Road Racing Championship 2026!” menurut kenyataan tersebut.
Langkah ini menyaksikan pembentukan barisan pelumba serantau yang cukup padu, menggabungkan pengalaman luas Hafizh dengan bakat muda Indonesia yang semakin menyerlah.

Hafizh, yang juga bekas pelumba MotoGP negara, dijangka terus menjadi tonggak utama pasukan selain memainkan peranan penting membimbing Andi menyesuaikan diri dengan cabaran musim baharu ARRC.
Andi Farid Izdihar, atau lebih dikenali sebagai Andi Gilang, pula bukan nama asing di pentas antarabangsa. Andi mewakili Astra Honda Racing dalam ARRC selain mempunyai pengalaman di kejuaraan dunia Moto3 dan Moto2. Rekod itu menjadikan kombinasi Hafizh–Andi antara gandingan paling menarik untuk diperhatikan musim ini.
Kehadiran kedua-dua pelumba ini turut mengukuhkan reputasi JDT Racing Team sebagai antara pasukan yang serius dalam pembangunan sukan permotoran dua roda di peringkat Asia.

Sebelum pengumuman rasmi dibuat, ramai netizen menjangkakan juara SS600 ARRC musim lalu, Kasma Daniel, bakal menjadi pilihan rider kedua JDT, lebih-lebih lagi dengan nombor perlumbaan 27 dan kenyataan Hafizh mengenai pelumba kelahiran Johor.
Musim ARRC 2026 dijangka menjadi pentas penting buat JDT Racing Team untuk mencabar kejuaraan, dengan gabungan pengalaman, kepantasan dan konsistensi daripada Hafizh serta Andi. Kehadiran Andi juga dilihat mampu membantu Hafizh mempertahankan gelaran juara ASB1000 yang dimenangi musim lalu.



Facebook
Instagram
X (Twitter)
YouTube
LinkedIn
RSS