Kenyataan pimpinan tertinggi Suzuki di EICMA bayangkan strategi baharu jenama Jepun itu, dengan platform enjin sedia ada dan trend global motosikal sederhana menjadi pemacu utama.

Subscribe to our Instagram Channel for instant news & updates!
Suzuki dilihat berpotensi menyertai segmen motosikal 350 hingga 500cc yang kini berkembang pesat, seiring peningkatan permintaan terhadap model mampu milik, mudah dikendalikan dan berposisi tunggangan tegak di pasaran Eropah serta Asia.
Perkara ini dilaporkan oleh motorcyclenews.com selepas mereka mengajukan soalan secara terus kepada Presiden Suzuki Motor Corporation, Toshihiro Suzuki, dan Pengurus Besar Pemasaran serta Perancangan Motosikal, Akira Kyuji, ketika pameran EICMA di Milan baru-baru ini.
Pada acara sama, Suzuki turut memperkenalkan model baharu SV-7GX berkonsepkan sports touring kelas pertengahan, yang menggunakan enjin V-twin 645cc, enjin yang mula diperkenalkan sejak 1999, sekali gus memberi nafas baharu kepada platform tersebut untuk bersaing secara terus dengan Yamaha Tracer.

Mengulas kemungkinan kemasukan ke segmen kapasiti lebih kecil, Akira Kyuji menyatakan bahawa kategori tersebut semakin popular dalam kalangan pengguna. Menurutnya, sebagai pengeluar utama, Suzuki perlu bergerak selari dengan kehendak pasaran. Jika wujud permintaan pelanggan, maka menjadi tanggungjawab pengeluar untuk memenuhinya.
Dari sudut teknikal, Suzuki sebenarnya sudah mempunyai asas kukuh. Mereka menghasilkan enjin satu silinder 398cc suntikan bahan api untuk model DR-Z4S trail dan DR-Z4SM supermoto. Enjin ini menjana kuasa sekitar 37.5bhp, sesuai untuk lesen A2, serta mematuhi piawaian Euro5+. Unit tersebut berpotensi digunakan pada model lain dengan beberapa pelarasan dalaman.
Kyuji turut mengakui bahawa permintaan motosikal 350 hingga 500cc kini bukan hanya meningkat di Eropah, malah turut melonjak di pasaran seperti China susulan perubahan undang-undang yang memudahkan pemilikan motosikal bersaiz sederhana. Di Britain sahaja, statistik daripada Motorcycle Industry Association (MCIA) menunjukkan 1,416 unit motosikal dalam kategori 126–500cc didaftarkan pada Oktober 2025, menjadikannya segmen kedua terbesar selepas 51–125cc.

Secara global, trend motosikal berkapasiti kecil dan sederhana jelas dipacu oleh jenama seperti Royal Enfield, selain Triumph, BMW dan KTM yang bekerjasama dengan pengeluar India untuk menghasilkan model lebih mampu milik bagi pasaran luar Eropah. Royal Enfield sahaja kini menghasilkan rangkaian enjin 350cc, 450cc serta twin 650cc. Daripada sekitar 30,000 unit setahun 25 tahun lalu, syarikat itu menamatkan tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 dengan pengeluaran 1,009,900 motosikal, peningkatan 11%.
Suzuki sendiri mempunyai hubungan kukuh dengan pembuatan di India, dengan lebih sembilan juta motosikal dihasilkan di negara itu sejak 2006 untuk pasaran domestik dan global. Pada 20 Mei lalu, majlis pecah tanah diadakan untuk kilang baharu di Kharkhoda, Haryana, yang dijangka memulakan operasi dengan kapasiti awal 750,000 unit setahun.
Banyak model dalam gelombang baharu motosikal mampu milik ini juga menampilkan elemen retro, memanfaatkan warisan jenama. Namun apabila ditanya sama ada Suzuki akan mengikut pendekatan sama, Kyuji enggan mendedahkan perancangan model masa depan, sambil menegaskan bahawa tugas mereka adalah memenuhi permintaan pasaran.

Selain itu, Presiden Suzuki, Toshihiro Suzuki, turut mengakui perkembangan pantas pengeluar motosikal China, yang jelas kelihatan di EICMA menerusi model baharu dan konsep berteknologi tinggi. Beliau menyatakan Suzuki tidak boleh menunggu terlalu lama dan perlu melangkah ke hadapan, termasuk mempelajari aspek reka bentuk dan fungsi daripada pengeluar China.
Walaupun Suzuki kini mempunyai barisan enjin parallel-twin 776cc sekitar 82bhp dengan aci engkol 270 darjah, syarikat itu tetap memilih untuk terus memperbaharui enjin V-twin 645cc yang kini berusia 26 tahun untuk digunakan pada SV-7GX yang dijadualkan tiba pada 2026. Menurut Kyuji, walaupun parallel-twin 270 darjah boleh meniru karakter V-twin, kelebihan enjin V ialah dari segi kekompakan dalaman, membolehkan motosikal dibina lebih ramping dan dengan ketinggian tempat duduk lebih rendah, selari dengan falsafah reka bentuk Suzuki.

Enjin yang dikemas kini ini kini dipadankan dengan sistem ride-by-wire serta quickshifter naik dan turun gear. Apabila ditanya sama ada ia boleh melahirkan semula model SV650 atau versi S yang lebih sporty, Toshihiro Suzuki menyifatkan enjin V-twin tersebut sebagai “khazanah” Suzuki yang mahu terus dikekalkan dan dimanfaatkan sebaik mungkin, memandangkan tidak banyak pengeluar lain masih memiliki konfigurasi tersebut.
Kini di Malaysia, dengan adanya jenama tempatan AFAZ, di mana ia sedang menggunakan base model SDi Malaysia pula, kehadiran jenama tempatan AFAZ yang sebelum ini menggunakan model asas Suzuki, seperti Kencana Sport 115 yang berakar daripada Suzuki Smash, menimbulkan persoalan sama ada pendekatan ini akan berkembang lebih jauh, sehingga meletakkan AFAZ sebagai pemain utama dalam pengeluaran motosikal Suzuki berkapasiti kecil untuk pasaran tempatan.



Facebook
Instagram
X (Twitter)
YouTube
LinkedIn
RSS