Tujuh pelumba muda terpilih sertai MotoMini 160 dan SIC Ohvale Junior Championship selepas ujian intensif sehari penuh.

Langgan saluran Instagram kami untuk info dan berita terkini!
Sesi pemilihan MotoMini Malaysia 2026 telah berlangsung dengan jayanya di Horizon Beranang Circuit pada hari Sabtu lepas, 17 Januari 2026, sekali gus menandakan langkah awal pencarian bakat baharu pelumba muda negara.
Pendaftaran secara dalam talian dibuka bermula 7 Januari hingga 15 Januari 2026, dengan seramai 45 calon mendaftar. Selepas melalui proses tapisan awal, 12 orang pelumba berusia antara 9 hingga 14 tahun, termasuk dua peserta wanita, telah terpilih untuk menyertai sesi pemilihan akhir.
Fokus utama sesi ini adalah untuk mengenal pasti bakat muda bagi dua kategori utama iaitu SIC Ohvale Junior Championship (7 hingga 11 tahun) dan MotoMini 160 (10 hingga 14 tahun). Peserta yang hadir terdiri daripada tujuh pelumba dari Selangor, tiga dari Pahang, seorang dari Kuala Lumpur, dan seorang dari Perak, mencerminkan minat yang semakin meluas terhadap perlumbaan mini di peringkat akar umbi.
Sesi pemilihan berlangsung dalam keadaan cuaca yang baik dan melibatkan ujian kecergasan fizikal serta ujian menunggang, bermula dari 9.00 pagi hingga 5.00 petang. Kesemua peserta dinilai secara menyeluruh di bawah pemantauan Zulfahmi Khairuddin, selaku Pengurus Kejohanan MotoMini Malaysia, bersama Sergio Mora, Jurulatih SIC Racing dari Sepanyol.
Hasil daripada sesi pemilihan tersebut, tiga pelumba telah terpilih bagi kategori MotoMini 160, manakala empat pelumba dipilih untuk menyertai SIC Ohvale Junior Championship, termasuk seorang pelumba wanita, Wan Adra Mikayla, berusia 11 tahun dari Kuala Lumpur.

Senarai Pelumba Terpilih MotoMini 160
- Ariff Rayyan bin Yunus (11) – Kuala Lumpur
- Aisy Wafiy bin Amir Azaruddin (13) – Pahang
- Muhammad Arsyad bin Mohd Rashid (13) – Selangor
- Senarai Pelumba Terpilih SIC Ohvale Junior Championship
- Akmal Aiman bin Ameer Ali (9) – Selangor
- Ayden Hafreez bin Abdul Hafiz (10) – Selangor
- Rayyan Mikael (10) – Pahang
- Wan Adra Mikayla (11) – Selangor
Mengulas sesi pemilihan, Zulfahmi Khairuddin menyatakan kepuasannya terhadap kualiti peserta yang terpilih: “Saya amat berpuas hati dengan tahap peserta yang dipilih bersama juri dari Sepanyol, Sergio Mora. Kesemua pelumba menunjukkan komitmen yang sangat baik, termasuk beberapa yang baru pertama kali menunggang motosikal berklac tetapi mampu belajar dengan pantas.”
Beliau turut menjelaskan bahawa jumlah ujian telah ditingkatkan daripada tiga kepada lapan sesi, bagi mendapatkan gambaran yang lebih menyeluruh sebelum membuat keputusan pemilihan.
“Ini membuktikan potensi besar yang mereka miliki. Kepada pelumba yang terpilih, ini adalah peluang yang sangat berharga. Teruskan berusaha dan kekalkan disiplin latihan,” tambahnya.
Perlumbaan pembuka tirai MotoMini Malaysia 2026 dijadualkan berlangsung pada pertengahan April 2026, dengan pusingan pertama bakal diadakan di Litar Kart Antarabangsa Sepang, menjanjikan permulaan musim yang penuh keterujaan bagi bakat-bakat muda negara.



Facebook
Instagram
X (Twitter)
YouTube
LinkedIn
RSS