AFAZ Kencana Sport, Inisiatif Motosikal Nasional Kedua selari AM-2 kukuhkan keupayaan kejuruteraan tempatan dan sasar pasaran ASEAN.

Langgan saluran Instagram kami untuk info dan berita terkini!
Malaysia hari ini mencatat satu detik bersejarah dalam landskap industri dan automotif negara menerusi Majlis Penyerahan Motosikal Nasional AFAZ Kencana Sport 115 kepada Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia. Majlis rasmi tersebut berlangsung di Pejabat Perdana Menteri, menandakan satu pencapaian penting dalam pembangunan industri dua roda tempatan.
Majlis ini merupakan kemuncak kepada inisiatif jangka panjang negara yang bermula dengan pelaksanaan Automotive Manufacturing 2 (AM-2) pada tahun 2022. Dasar strategik ini digubal bagi memperkukuh ekosistem automotif negara, meningkatkan keupayaan kejuruteraan nasional, serta membangunkan rantaian industri bernilai tinggi secara menyeluruh dan mampan.
Sejajar dengan hala tuju AM-2, KMSB Motors Sdn. Bhd. melangkah setapak ke hadapan pada tahun 2023 melalui pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Suzuki Motor Corporation, Jepun. Kerjasama strategik ini merangkumi pemindahan teknologi dan pengetahuan, perkongsian kepakaran kejuruteraan, serta pembangunan keupayaan tempatan secara berstruktur dan berterusan.
Hasil daripada perjanjian tersebut, projek AFAZ dibangunkan sebagai satu inisiatif nasional yang melangkaui penghasilan produk semata-mata. Ia berfungsi sebagai platform pembangunan industri motosikal negara, melibatkan kolaborasi antara jurutera tempatan, vendor industri tempatan serta rakan teknikal antarabangsa, dengan matlamat jelas untuk merealisasikan Motosikal Nasional Kedua Malaysia.
Menerusi hantaran di Facebook, Datuk Seri Anwar menyatakan bahawa kerjasama ini dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan, memperkukuh kepakaran kejuruteraan tempatan serta merangsang pembangunan rantaian industri bernilai tinggi dalam negara.
“Saya percaya inisiatif ini melambangkan keyakinan terhadap kemampuan anak tempatan dan usaha berterusan kerajaan dalam membina ekonomi yang lebih kukuh, berdaya saing dan mampan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan MADANI akan terus komited membawa Malaysia ke hadapan dalam membangunkan industri motosikal yang lebih berdaya tahan, berdaya saing dan bersedia menghadapi masa depan, berpaksikan keupayaan tempatan serta disokong kerjasama global.

AFAZ Kencana Sport 115: Direka untuk Keperluan Rakyat
AFAZ Kencana Sport 115 merupakan sebuah motosikal jenis underbone yang dibangunkan khusus bagi memenuhi keperluan sebenar pengguna di Malaysia. Ia dikuasakan oleh enjin moden pematuhan Euro 4 yang lebih jimat bahan api, mesra alam dan rendah pelepasan emisi, selari dengan piawaian semasa dan masa hadapan.
Model ini turut menampilkan casis yang dipertingkatkan bagi menawarkan kestabilan, kawalan dan keyakinan tunggangan yang lebih baik. Dari segi kebolehpercayaan, AFAZ Kencana Sport disokong oleh teknologi enjin Suzuki yang telah terbukti ketahanan serta prestasinya.

Mobiliti Mampu Milik & Bersedia ke Peringkat Serantau
Objektif utama pembangunan AFAZ Kencana Sport adalah untuk menyediakan sebuah motosikal yang praktikal, selamat, jimat bahan api dan mampu dimiliki, terutamanya bagi segmen berpendapatan rendah dan pasaran massa. Dengan kos pemilikan rendah, penyelenggaraan mudah dan ketahanan jangka panjang, model ini dilihat sebagai penyelesaian mobiliti harian yang mampu mengurangkan beban kos rakyat.
Selain memenuhi keperluan pasaran domestik, AFAZ Kencana Sport turut dibangunkan mengikut piawaian antarabangsa dari aspek kejuruteraan, keselamatan dan pematuhan peraturan. Pendekatan ini memastikan motosikal berkenaan bersedia untuk menembusi pasaran ASEAN dalam tempoh terdekat.
Dengan tahap kualiti dan kebolehpercayaan yang kompetitif, AFAZ Kencana Sport berpotensi menjadi duta industri dua roda Malaysia di peringkat serantau, sekali gus membuka peluang baharu kepada vendor tempatan dan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan automotif ASEAN.



Facebook
Instagram
X (Twitter)
YouTube
LinkedIn
RSS