Hujan lebat, ribut petir dan angin kencang dijangka melanda Pahang, Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Melaka, dengan amaran laut bergelora bagi perairan pantai.

Langgan saluran Instagram kami untuk info dan berita terkini!
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran cuaca mengenai ribut petir, hujan lebat, dan angin kencang di beberapa negeri pagi ini, memberi peringatan kepada orang ramai untuk berwaspada kerana keadaan cuaca yang tidak menentu masih berterusan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini, MetMalaysia melaporkan bahawa cuaca buruk dijangka melanda Pahang, Lembah Klang, Negeri Sembilan, dan Melaka.
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di Bera, Pahang, manakala di Selangor, kawasan Klang, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang terjejas. Keadaan yang sama juga dijangka berlaku di seluruh Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka,” menurut kenyataan itu.

Amaran Laut Bergelora di Perairan Pantai Timur dan Utara
MetMalaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora (Kategori Satu) bagi perairan Terengganu, Kelantan, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, dan Selangor.
Menurut jabatan itu, angin kencang dan keadaan laut bergelora berisiko kepada bot kecil, aktiviti rekreasi laut, dan sukan air. Peningkatan paras laut juga dijangka berlaku di perairan Terengganu dan Kelantan dan dijangka berterusan sehingga esok.

Amaran Hujan Berterusan Masih Berkuat Kuasa
Sebelum ini, MetMalaysia meletakkan beberapa kawasan di bawah amaran hujan berterusan (tahap bahaya) yang berkuat kuasa sehingga 25 November 2025. Kawasan terjejas termasuk Kulim dan Bandar Baharu di Kedah, Pulau Pinang, Kerian, Larut, Matang & Selama, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak serta Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh di Kelantan.
Sementara itu, amaran hujan berterusan (tahap serius) masih aktif sehingga tarikh yang sama bagi Perlis, Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling di Kedah, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim di Perak, Jeli, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai di Kelantan, Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun di Terengganu serta Sabak Bernam di Selangor.
Amaran hujan berterusan (amaran) pula berkuat kuasa sehingga 24 November 2025 bagi kawasan Cameron Highlands, Lipis, Raub, Bentong dan Temerloh di Pahang, serta Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Gombak di Selangor. Amaran ini juga dilanjutkan sehingga 26 November 2025 bagi Gua Musang, Kelantan dan Kemaman, Terengganu.
MetMalaysia menasihatkan orang ramai untuk memantau ramalan cuaca rasmi, sentiasa berwaspada terhadap perubahan cuaca dan mematuhi garis panduan keselamatan, terutamanya bagi mereka yang berada di kawasan rendah banjir dan pesisir pantai.




Facebook
Instagram
X (Twitter)
YouTube
LinkedIn
RSS