Team Malaysia tiba di Valencia untuk perlumbaan akhir Kejuaraan Dunia FIM MiniGP 2025 dengan empat pelumba dalam kategori 160 dan 190, bersedia membawa misi kebanggaan Malaysia.

Langgan saluran Instagram kami untuk info dan berita terkini!
Team Malaysia selamat tiba di Valencia, Sepanyol bagi menghadapi perlumbaan akhir Kejuaraan Dunia FIM MiniGP 2025. Seramai 46 pelumba dari 22 negara akan beraksi dalam kategori 160, manakala 26 pelumba dari 15 negara akan bersaing dalam kategori 190.
Kesemua peserta merupakan pelumba terbaik dari negara masing-masing. Malaysia diwakili oleh juara dan naib juara FIM MiniGP Malaysia 2025. Dalam kategori 160, Al-Adam Mikail dan Qasha Irfan akan mewakili negara. Bagi kategori 190, Qabil Irfan dan Adam Aiman akan bersaing bagi membawa nama Malaysia ke pentas dunia.
Seperti edisi sebelum ini, setiap pelumba dibekalkan dengan kelengkapan perlumbaan lengkap, termasuk racing suit, sarung tangan, dan peralatan keselamatan lain. Motosikal rasmi untuk perlumbaan ini disediakan oleh Ohvale, penaja rasmi kejuaraan akhir.
Sesi latihan rasmi akan bermula pada Selasa, diikuti perlumbaan utama pada Rabu. Semua perlumbaan akan disiarkan secara langsung di laman web rasmi MotoGP.com, membolehkan peminat mengikuti aksi pelumba dari seluruh dunia.

Zulfahmi Khairuddin, Pengurus Pasukan Malaysia berkata: “Tahun ini hanya dua pelumba dari kategori 160 dan dua pelumba dari kategori 190 akan beraksi. Saya sangat yakin kerana ini merupakan penyertaan kelima kami di Kejuaraan Dunia MiniGP. Saya benar-benar teruja untuk memulakan sesi kejuaraan dunia kali ini. Perlumbaan sebenar akan berlangsung pada hari Khamis, dan Team Malaysia akan berusaha sehabis baik untuk membawa kemenangan buat negara. Jangan lupa terus memberi sokongan dan ikuti perkembangan kami di media sosial FIM MiniGP Malaysia.”
Team Malaysia bertekad memberikan prestasi terbaik di Valencia. Dengan pengalaman sebelum ini dan latihan intensif, pasukan berharap dapat mencipta pencapaian membanggakan untuk negara di pentas dunia. Semua pelumba bersemangat tinggi untuk menghadapi persaingan sengit dari peserta antarabangsa dan membawa pulang kejayaan buat Malaysia.



Facebook
Instagram
X (Twitter)
YouTube
LinkedIn
RSS