Pelumba A1 Energy BMW Racing Team, Azlan Shah Kamaruzaman muncul juara perlumbaan kedua ASB1000 di Mandalika selepas Hafizh Syahrin terjatuh ketika mendahului.

Subscribe to our Telegram channel for instant updates!
Hafizh Syahrin dari pasukan JDT Racing Team hampir mencatatkan kemenangan berganda dalam saingan Asia Road Racing Championship (ARRC) 2025 di Mandalika, Indonesia. Selepas memenangi perlumbaan pertama, Hafizh turun dengan penuh keyakinan untuk meraih kemenangan ketiga musim ini apabila bermula dari petak pertama hasil catatan cemerlang di pusingan kelayakan.
Pelumba berusia 30 tahun itu tidak berdepan masalah menguasai perlumbaan sebaik sahaja lampu hijau dinyalakan, meninggalkan pencabar terdekat Keito Abe (SDG HARC-PRO Honda Philippines) serta Lachlan Epis dari Australia. Malah, Hafizh sempat mencatat kelebihan lebih satu saat di hadapan sebelum insiden malang berlaku apabila beliau terjatuh ketika selesa mendahului.

Kejadian itu membuka ruang untuk Abe memimpin perlumbaan, namun Azlan Shah yang sentiasa mengekori rapat tidak melepaskan peluang. Dengan aksi penuh berpengalaman, Azlan berjaya memintas pelumba Jepun itu dan mengekalkan kedudukan sehingga ke garisan penamat.
Pelumba tuan rumah, Andi Farid Izdihar, melengkapkan podium dengan menamatkan perlumbaan di tempat ketiga. Kemenangan ini cukup bermakna buat Azlan kerana ia merupakan kemenangan pertamanya dalam kelas ASB1000 sejak di Buriram pada 2024. Lebih manis, ia hadir bersempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 Malaysia.
Dengan keputusan ini, Abe kini kembali menerajui kedudukan keseluruhan kategori ASB1000 selepas merampas takhta daripada Hafizh. Persaingan kejuaraan semakin sengit dan bakal berlanjutan ke pusingan kelima yang akan berlangsung di Sepang International Circuit, Malaysia pada 10 hingga 12 Oktober depan.


Facebook
Instagram
X (Twitter)
YouTube
LinkedIn
RSS